Cari:
Meminjam Anak Panah dengan Perahu Berjerami
2009-05-06 11:21:22 CRI Cetak

Menurut ceritanya, pada abad ketiga Masihi, negeri Wei, negeri Shu dan negeri Wu merupakan tiga kekuatan yang terbesar di China. Ketiga-tiga negeri tersebut saling bersaing untuk mengalahkan antara satu sama lain. Pada suatu ketika, negeri Wei merancang untuk menghapuskan negeri Wu, yang terletak berdekatan dengan Sungai Yangtze, melalui laluan sungai. Tidak berapa lama kemudian, tentera Wei sudah pun tiba di wilayah yang tidak jauh daripada negeri Wu. Kemudian mereka berkumpul di kawasan tebing sungai, untuk menunggu peluang untuk melancarkan serangan besar-besaran terhadap negeri tersebut.

Selepas mengetahui niat raja dari negeri Wei dan mengkaji keadaan tentera negeri musuh itu, Panglima negeri Wu, Zhou Yu memutuskan untuk menahan serangan musuh dengan panah. Namun, bagaimana caranya untuk menghasilkan 100 ribu batang anak panah yang diperlukan dalam masa yang amat singkat itu?

Pada ketika itu, kebetulan, penasihat tentera negeri Shu, iaitu Zhuge Liang sedang melawat negeri Wu. Dia orang yang sangat pijak. Jadi Zhou Yu terus meminta bantuan kepadanya. Zhuge Liang mengatakan bahawa kesemua anak panah yang diperlukan itu dapat disiapkan dalam masa 3 hari sahaja. Dia terus meminta menteri kanan negeri Wu, iaitu Lu Su, supaya menyediakan 20 buah perahu yang ditutup dengan tabir dan disisipkan jerami, dengan setiap satunya ditempatkan 30 orang askar. Lu Su juga diminta merahsiakan perkara tersebut.

Dalam masa 3 hari kemudiannya, Zhuge Liang tidak melakukan apa-apa pun. Pada tengah malam hari ke-3, dia pun menjemput Lu Su untuk bersama-sama dengannya pergi mengambil anak panah tersebut. Kemudian, dia membuat arahan supaya kesemua perahu tersebut disambungkan dengan tali yang panjang, lalu, mereka terus mara menuju ke kem tentera negeri Wei.

Pada malam itu, alam diliputi kabus yang tebal. Pasukan berperahu yang diketuai oleh Zhuge Liang itu terus mara dengan laju sehingga sampai ke tempat yang berdekatan dengan kem tentera negeri Wei. Zhuge Liang mengarahkan askarnya supaya membariskan semua perahu tersebut. Mereka juga diarahkan supaya memukul gendang perang, sambil berteriak dengan kuat. Lu Su berasa sangat takut. Namun, Zhuge Liang hanya senyum sahaja, sambil berkata, "Saya pasti tentera Wei tidak berani menyerang kita pada malam yang berkabus ini. Marilah kita minum dulu."

Setelah tentera Wei mendengar bunyi gendang dan teriakan itu, Panglima mereka, iaitu Cao Cao segera memanggil jeneralnya untuk membincangkan tindak balas yang patut dilakukan. Melihat kabus yang tebal itu, mereka memutuskan untuk menghantar lebih 10 ribu orang pemanah melepaskan anak panah secara rambang ke arah tentera negeri Wu. Dengan yang demikian, dalam masa sekelip mata sahaja, perahu-perahu negeri Wu yang diliputi jerami itu, sudah penuh terkena anak panah. Ketika mendapati anak panah itu sudah mencukupi, Zhuge Liang segera mengarahkan askarnya supaya segera berundur. Apabila kabus beransur-ansur hilang, tentera Wei baru menyedari apa yang sudah berlaku tadi. Mereka kesal sekali.

Setelah tiba di kem tentera Wu, Zhou Yu segera mengarahkan askarnya untuk memindahkan anak-anak panah yang dikumpulkan oleh Zhuge Liang itu. Setelah dihitung, jumlahnya lebih daripada 10 ribu batang. Kesemua orang amat kagum dengan kebijaksanaan Zhuge Liang. Mereka juga hairan, bagaimana Zhuge Liang tahu cuaca malam itu berkabus. Sebenarnya, dia sangat pandai meramalkan perubahan cuaca. Dengan kepandaian itu, dia berjaya membantu negeri Wu mengambil balik begitu banyak anak panah dari negeri musuhnya.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China