Cari:
Doktor Bian Que Mendiagnosis Penyakit Raja
2009-06-17 09:05:10 CRI Cetak
Bian Que merupakan doktor yang paling tersohor di China pada zaman kuno. Menurut ceritanya, pada suatu hari, dia telah dipanggil ke istana untuk memeriksa kesihatan Raja Caihuangong. Setelah memeriksa dengan teliti, dia berkata kepada raja itu, "Hamba mendapati bahawa ada penyakit ringan pada kulit tuanku. Jika penyakit ini tidak diubati dengan secepat mungkin, ia mungkin merebak ke seluruh badan."

Raja Caihuangong tidak peduli pada keputusan diagnosis yang dibuat oleh Bian Que itu. Baginda bertitah, "Beta rasa sihat". Setelah Bian Que meminta diri, baginda pula bertitah kepada menteri-menteri yang ada di situ, "Doktor selalu suka merawat orang yang sebenarnya sihat, dengan niat untuk mendapatkan anugerah."

Sepuluh hari kemudian, Bian Que mengadap Raja Caihuangong lagi di istana. Dia berkata kepada raja itu dengan serius, "Penyakit tuanku itu sudah menjangkit ke dalam otot. Ia dijangka bertambah serius jika tidak diubati." Raja Caihuangong tetap tidak peduli pada kenyataan itu. Jadi, Bian Que terpaksa meminta diri dulu.

Sepuluh hari kemudian, Bian Que mengadap Raja Caihuangong lagi, dan berkata kepada baginda, "Penyakit tuanku itu sudah merebak ke dalam usus dan perut. Ia akan menjadi bertambah teruk jika tidak diubati dengan segera." Raja Caihuangong tetap tidak mempedulikannya.

Sepuluh hari berlalu lagi. Apabila ternampak Raja Caihuangong dari tempat yang masih agak jauh, Bian Que segera meninggalkan tempat itu tanpa mengucapkan salam kepada baginda. Baginda pun menghantar seorang pesuruh untuk pergi bertanya kepada Bian Que, mengapa dia melarikan diri.

Bian Que menjawab, "Penyakit pada kulit boleh diubati dengan memakan ubat atau dituam; jika sudah menjangkit ke dalam otot, ia boleh dirawat dengan akupunktur; jika sudah merebak ke dalam usus dan perut, ia masih boleh diubati dengan memakan ubat; bagaimanapun, jika sudah sampai ke sumsum tulang, doktor pun tak boleh berbuat apa-apa. Sekarang penyakit tuanku sudah merebak ke dalam sumsum tulang. Maka, hamba pun tak mampu merawat tuanku."

Lima hari kemudian, Raja Caihuangong berasa sangat sakit pada seluruh badan. Baginda segera menghantar seorang pesuruh untuk pergi mencari Bian Que. Bagaimanapun, dia sudah melarikan diri entah ke mana. Tidak berapa lama kemudian, Raja Caihuangong pun mangkat akibat penyakit itu.

Cerita ini memberikan satu pengajaran kepada kita, iaitu kesilapan dan kecacatan patut diperbetulkan seawal yang mungkin. Jika kesilapan dan kecacatan diri dibiarkan terus-menerus, seseorang itu pasti akan mengalami kerugian yang besar.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China