Menurut ceritanya, terdapat seorang pendeta agama Tao yang tinggal di Gunung Laoshan, di kawasan pesisir pantai. Pendeta itu dikatakan menguasai banyak ilmu ghaib. Pada ketika itu, terdapat seorang pemuda yang bernama Wang Qi, yang amat berminat kepada ilmu ghaib sejak kecil lagi. Apabila mengetahui tentang pendeta tersebut, Wang Qi segera berangkat ke Gunung Laoshan. Setelah bertemu dengan pendeta itu, Wang Qi memohon untuk menjadi penuntutnya. Selepas memerhatikan Wang Qi dengan teliti, pendeta itu berkata, "Nampaknya awak anak yang manja. Saya takut awak tidak sanggup menderita begitu banyak kesusahan ketika menjalani latihan nanti." Bagaimanapun, setelah dirayu berterusan, ahkirnya, dia bersetuju untuk menerima Wang Qi sebagai penuntutnya.
Pada keesokan harinya, Wang Qi bangun awal. Dia menyangka bahawa gurunya itu akan mula mengajarkan ilmu ghaib kepadanya. Bagaimanapun, di luar sangkaannya, gurunya itu hanya memberikan sebuah kapak kepadanya, dan menyuruhnya pergi ke hutan bersama-sama dengan rakannya yang lain untuk menebang pokok. Mahu tak mahu, Wang Qi terpaksa mematuhi suruhan gurunya. Hatinya tidak berapa senang. Pada hari itu, belum pun terbenam matahari, kerja yang berat itu sudah membuatkan kaki Wang Qi berbuih dan berdarah.
Sebulan sudah berlalu. Wang Qi mengulangi kerja menebang kayu setiap hari sehingga tangan dan kakinya menjadi kesat dan berbelulang. Dia tidak sanggup menanggung derita yang begitu berat lagi. Dia mahu segera pulang ke rumah. Bagaimanapun, pada malam itu, sebaik sahaja pulang dari kerja, Wang Qi dan rakannya yang lain ternampak guru mereka sedang minum sambil berbual-bual dengan dua orang tetamu. Hari sudah gelap, tetapi lilin belum dinyalakan di bilik itu. Guru mereka mengambil sehelai kertas putih, dan menggunting kertas itu untuk menjadikan bentuk cermin. Lalu, kertas yang berbentuk bulat itu ditampalkannya pada dinding. Kertas itu segera berubah menjadi bulan, dan memancarkan cahaya yang terang. Pada ketika itu, salah seorang tetamu itu berkata, "Malam ini kita begitu gembira. Marilah kita berhibur-hibur sesuka hati." Guru mereka itu memberikan sebotol arak kepada semua penuntut yang ada di situ. Mula-mula, Wang Qi berfikir bahawa sebotol arak sahaja pasti tidak cukup untuk melayan begitu ramai orang. Bagaimanapun, apa yang terjadi kemudiannya sungguh aneh. Walaupun berapa banyak arak dituangkan, arak dalam botol itu tetap penuh. Tidak berapa lama kemudian, seorang tetamu lagi mengatakan, "Sayangnya, pada malam yang begitu indah ini, tidak ada orang yang membuat persembahan untuk kita." Guru mereka tersenyum, sambil mengambil sebatang penyepit untuk membuat tanda bulatan pada sehelai kertas putih. Tiba-tiba, seorang anak kecil yang cantik keluar dari bulan itu. Apabila jatuh ke tanah, gadis itu terus membesar sebesar manusia, lalu menyanyi sambil menari. Setelah selesai menyanyi dan menari, dia melompat ke atas meja, lalu menjadi penyepit semula. Ketika melihat keadaan itu, semua orang yang ada di situ menjadi tercengang-cengang. Pada ketika itu, seorang tetamu berkata, "Sudah terlalu malam. Aku kena minta diri dulu". Mendengar kenyataan itu, guru mereka dan dua orang tetamunya pun memindahkan meja jamuan itu ke dalam bulan. Cahaya bulan pun beransur-ansur hilang. Maka, para pengikut itu pun menyalakan sebatang lilin. Bagaimanapun, mereka hanya nampak guru mereka duduk seorang diri. Semua tetamu sudah hilang entah ke mana.