Cari:
Cerita tentang Pendeta Agama Tao di Gunung Laoshan (2)
2009-07-22 12:38:22 CRI Cetak
Sebulan lagi berlalu. Pendeta itu tetap tidak mengajarkan sebarang ilmu ghaib kepada Wang Qi. Wang Qi tidak dapat bertahan lagi. Dia mahu bertanya kepada gurunya mengapa dia berbuat demikian. Ketika menemui pendeta itu, Wang Qi berkata: "Saya benar-benar mahu mempelajari ilmu ghaib daripada tuan guru. Sekarang, saya bangun awal setiap hari untuk pergi menebang pokok, dan pulang lewat setiap malam. Saya tidak pernah mengalami kesusahan sebegini. Jika tuan guru tidak mahu mengajarkan ilmu panjang umur kepada saya, bolehkah ajarkan beberapa kuasa ajaib yang lain kepada saya?" Pendeta itu tersenyum, sambil berkata, "Memang benar jangkaan saya. Kesusahan begini sahaja awak sudah tidak sanggup bertahan lagi. Lebih eloklah awak pulang ke rumah esok." Wang Qi terus merayu dengan bersungguh-sungguh, "Tolonglah tuan guru, ajarkan sedikit ilmu ghaib kepada saya. Jika tidak, kerja berat yang saya lakukan di sini selama ini, menjadi sia-sia sahaja." Pendeta itu bertanya, "Apa ilmu yang mahu awak pelajari?" Wang Qi menjawab, "Saya selalu nampak tuan guru berjalan terus melalui dinding. Saya mahu belajar ilmu itu." Pendeta itu tersenyum, sambil menyuruh Wang Qi mengikutnya ke depan sebuah dinding. Lalu, dia memberitahukan mantera melalui dinding kepada Wang Qi. Sebaik habis membaca mantera itu, Wang Qi disuruh oleh gurunya supaya terus memasuki dinding itu. Namun, di depan dinding itu, Wang Qi berasa sangat takut, dan tidak berani menggerakkan kakinya. Ketika melihat gurunya seolah-olah menjadi marah, Wang Qi terpaksa menundukkan kepalanya, sambil bergerak ke arah dinding itu. Tanpa disedarinya, dia berjaya melalui dinding itu. Wang Qi berasa sangat gembira. Sebelum pulang ke kampung halamannya, pendeta itu telah memberikan satu nasihat kepada Wang Qi supaya dia sentiasa jujur dan bekerja dengan bersungguh-sungguh. Jika tidak, ilmu ghaib itu tidak akan berguna lagi.

Sebaik saja tiba di rumah, Wang Qi menjadi sombong. Dia berkata kepada isterinya, "Aku telah berguru kepada seorang dewa. Banyak ilmu ghaib telah diajarkannya kepada aku. Sekarang, dinding pun tidak dapat menghalang aku." Isterinya amat ragu terhadap kenyataan suaminya itu. Maka, Wang Qi mula membaca mantera, sambil berlari menuju ke dinding. Bagaimanapun, Wang Qi gagal. Kepalanya yang melanggar dinding itu bengkak teruk. Wang Qi berasa sangat malu. Isterinya berasa geli hati. Dia berkata, "Jika benar ada ilmu ghaib di dunia ini, orang yang malas seperti awak ini tentu tidak mampu menguasainya dalam masa dua hingga tiga bulan". Wang Qi mula mengesyaki dirinya telah ditipu oleh pendeta di Gunung Laoshan itu. Sejak itu, Wang Qi kembali kepada kemalasannya yang sangat amat. Maka, sepanjang hayatnya, dia tetap menjadi seorang yang tidak berguna.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China