Encik Dong Guo ialah seorang cendekiawan kolot yang terlalu asyik membaca buku. Menurut ceritanya, pada suatu hari, dia membawa seekor keldai dan sebuah beg yang berisi buku, menuju ke Negeri Zhongshan untuk mencari peluang kerja dengan kerajaan tersebut. Dalam perjalanan, tiba-tiba, seekor serigala yang cedera melompat ke depannya dan merayu, "Encik, saya sedang dikejar oleh seorang pemburu. Saya terkena anak panah, yang hampir meragut nyawa saya. Tolonglah sembunyikan saya ke dalam beg itu. Budi baik encik akan saya balas suatu hari nanti." Encik Dong Guo tentu mengetahui bahawa serigala ialah sejenis binatang yang buas. Bagaimanapun, dia berasa kasihan kepada serigala yang cedera itu. Selepas berfikir beberapa ketika, dia memutuskan untuk menolong serigala itu, lalu menyuruhnya menggulungkan badan, dengan kepalanya diletakkan di antara kedua-dua lutut. Lalu, dia menggunakan seutas tali untuk mengikat serigala itu supaya badan serigala itu muat-muat untuk diletakkan ke dalam beg berisi buku itu.
Tidak berapa lama kemudian, pemburu yang mengejar serigala itu pun sampai. Apabila dia tidak dapat lagi mengesan jejak serigala itu, dia bertanya kepada Encik Dong Guo, "Adakah encik terlihat seekor serigala yang cedera lalu di kawasan ini? Ke manakah ia melarikan diri?" Encik Dong Guo menjawab, "Tak ada serigala yang melalui tempat ini. Terdapat banyak cabang jalan di sini. Mungkin ia telah melarikan diri pada cabang jalan yang lain." Mendengar kata-kata Encik Dong Guo, pemburu itu mengucapkan terima kasih, dan berlalu dari situ. Sebaik sahaja tidak lagi mendengar bunyi keletak tapak kaki kuda yang ditunggang oleh pemburu itu, serigala yang terikat dalam beg berisi buku itu merayu kepada Encik Dong Guo supaya membebaskannya. Encik Dong Guo yang baik hati itu segera berbuat demikian tanpa rasa curiga. Bagaimanapun, dia terkejut dengan apa yang berlaku kemudiannya yang memang tidak disangkanya. Sebaik sahaja dibebaskan daripada ikatan, serigala itu segera mengacah Encik Dong Guo, "Encik sudah membuat satu jasa baik untuk menyelamatkan nyawa saya. Sekarang saya terlalu lapar. Eloklah encik membuat satu lagi jasa, iaitu menjadi makanan untuk mengisi perut saya." Sebaik sahaja habis bercakap, serigala itu pun menerpa ke arah Encik Dong Guo. Bagaimanapun, Encik Dong Guo cuba mempertahankan diri dengan melawan serigala itu tanpa sebarang senjata, sambil memaki hamun serigala itu yang membalas kebaikan dengan kejahatan. Pada ketika itu, seorang petani yang membawa cangkul melalui tempat itu. Encik Dong Guo segera meminta tolong petani itu, dan memberitahunya apa yang terjadi. Bagaimanapun, serigala itu menafikan dakwaan segala jasa baik Encik Dong Guo terhadapnya. Petani itu berfikir beberapa lama, lalu berkata, "Saya tidak percaya kepada kata-kata kedua-dua kamu. Beg sekecil ini mana boleh mengisi seekor serigala yang begitu besar. Silalah ulangi proses itu supaya saya boleh melihat dengan mata saya sendiri." Serigala itu pun bersetuju dengan cadangan petani itu. Ia berbaring semula di tanah, dan menggulungkan badannya, lalu membiarkan Encik Dong Guo mengikatnya semula dengan seutas tali dan meletakkannya ke dalam beg itu. Petani tersebut segera mengikat beg itu dengan ketat, lalu berkata kepada Encik Dong Guo, "Binatang buas seperti serigala ini, mustahil akan berubah perangai. Encik tersilap kerana menyelamatkannya." Lalu, dia memukul serigala itu dengan cangkulnya sehingga mati.
Ketika itu, Encik Dong Guo menyedari bahawa dia melakukan kesilapan besar kerana berbuat sesuatu tanpa berfikir panjang. Dia mengucapkan terima kasih kepada petani itu kerana menyelamatkan nyawanya. Sekarang, "Encik Dong Guo" dan "serigala Zhongshan" sudah menjadi satu istilah dalam bahasa Mandarin. "Encik Dong Guo" merujuk kepada golongan yang lurus bendul, tidak berfikir panjang dan mudah termakan kata-kata manis walaupun daripada orang yang tidak dikenali. "Serigala Zhongshan" pula merujuk kepada golongan yang selalu membalas kebaikan dengan kejahatan.