Bayang Busur dalam Cawan Arak Disangka Ular
Le Guang ialah ketua Kaunti Henan pada zaman Dinasti Jin. Dia mempunyai seorang kawan yang sangat rapat dengannya. Ketika kawannya itu sudah terlalu lama tidak datang menziarahinya, dia berasa sangat hairan, lalu dia pergi bertanya khabar kepada kawannya itu. Kawannya itu menjawab:
"Ketika saya dijemput ke rumah awak beberapa hari yang lalu, saya telah dijamu dengan makanan dan minuman yang sedap-sedap. Bagaimanapun, sebaik sahaja saya hendak minum, saya ternampak seekor ular di dalam cawan saya. Perkara ini membuatkan saya tidak sedap hati, sehingga saya jatuh sakit sebaik tiba di rumah."
Mendengar penjelasan kawannya itu, Le Guang semakin hairan. Tiba-tiba, dia teringat akan sebuah busur bercat yang tergantung pada dinding dewan di rumahnya. Bentuknya mirip seekor ular. "Ular" yang disebut oleh kawannya itu pastilah bayang-bayang busur itu.
Pada keesokan harinya, Le Guang menjemput lagi kawannya itu ke rumahnya untuk makan malam, dan memintanya duduk di tempat duduk yang sama. Melihat kawannya itu seolah-olah sangat bimbang sehingga tangannya menggeletar dan keringat mengalir dari dahinya, Le Guang menudingkan jarinya ke arah busur yang tergantung pada dinding dewan itu, sambil berkata, "cubalah awak lihat, mana ada ular di dalam cawan arak ini. Ia adalah bayang-bayang busur pada dinding itu sahaja."
Sebaik sahaja habis bercakap, Le Guang pun menurunkan busur itu dari dinding dewan tersebut, dan "ular" dalam cawan arak itu dilihat oleh kawannya benar-benar telah hilang.
Setelah diketahui hakikat ini, kawan Le Guang menjadi lega, dan "penyakitnya yang teruk" itu terus sembuh dengan segera.
Catatan Keterangan
Peribahasa Bei Gong She Ying ini mempersendakan seseorang yang bergelut dengan kebimbangan atau ketakutan yang dibayang-bayangkannya sehingga kesihatan mentalnya terganggu. Berdasarkan pengalaman kawan Le Guang itu, jelas bahawa penyiasatan dan penyelidikan itulah sahaja satu-satunya pendekatan untuk menyelesaikan segala masalah.