Kertas di Bandar Luoyang Mahal Sekali
Asal Usul:
Zuo Si ialah seorang sasterawan yang tersohor di China pada zaman Dinasti Jin. Sebenarnya, dia seorang budak nakal yang tidak mahu menuntut ilmu ketika masih kecil. Perkara itu sangat memeningkan kepala ibu bapanya.
Pada suatu hari, ketika berbual-bual dengan beberapa orang kawannya, bapa Zuo Si mengeluh, sambil berkata:
"Anak saya ini langsung tak mahu belajar. Nampaknya susahlah baginya untuk mencapai apa-apa kejayaan apabila dewasa nanti."
Perkataan bapanya ini terdengar oleh Zuo Si yang kebetulan lalu di situ ketika itu. Dia berasa sedih, dan insaf bahawa dirinya memang tidak dapat mencapai apa-apa kejayaan jika tidak berubah sikap, asyik bermain, dan acuh tak acuh dalam pelajaran. Hasrat untuk belajar dengan tekun supaya dapat mencapai cita-cita yang tinggi demi membalas kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapanya selama ini, pun terus tersemat dalam hatinya.
Dengan ketekunannya dalam menuntut ilmu selama beberapa tahun, akhirnya Zuo Si membesar menjadi seorang pemuda yang sangat berilmu. Karangan-karangan yang dihasilkannya selalu mendapat markah dan pujian yang tinggi daripada gurunya.
Ketika Zuo Si berumur 20 tahun, seisi keluarganya telah berpindah ke bandar Luoyang, ibu negara China pada ketika itu. Dengan yang demikian, Zuo Si mempunyai kesempatan untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman dengan golongan cendekiawan di peringkat atasan yang menguasai cabang ilmu yang pelbagai di sana. Dengan menyerapnya ilmu pengetahuan dari pelbagai cabang itu, mindanya menjadi semakin cerdas dan terbuka.
Bakat Zuo Si dalam bidang kesusasteraan telah terpancar sepenuhnya apabila dia menghasilkan karyanya "Qi Du Fu" dalam masa setahun sahaja. Kemudian, dia menghabiskan masa selama 10 tahun pula untuk menghasilkan karyanya "San Du Fu", yang kandungannya mencakupi aspek adat istiadat dan budaya tradisi di ibu kota tiga buah negeri, iaitu negeri Wei, negeri Shu dan negeri Wu, sebelum ketiga-tiganya disatukan menjadi sebuah negara di bawah pemerintahan Dinasti Jin.
Sebaik sahaja karya tersebut disebarkan, ia terus menarik minat dan perhatian pembaca, baik daripada kalangan cendekiawan dan pegawai kerajaan, mahupun daripada kalangan rakyat biasa. Disebabkan teknologi mencetak belum dicipta pada ketika itu, maka mereka terpaksa berebut-rebut membeli kertas untuk menyalin buku tersebut, sehingga menyebabkan harga kertas di bandar Luoyang melambung tinggi. Peribahasa "Kertas di Luoyang mahal sekali" pun wujud selepas peristiwa tersebut.
Saudara pendengar, setelah mendengar cerita tersebut, adakah saudara faham apa erti peribahasa "Luo Yang Zhi Gui" ini? Sebenarnya, ia digunakan untuk memuji karya-karya yang cemerlang, yang menjadi ikutan ramai atau yang laris jualannya.