Mao Sui Cadangkan Diri Sendiri untuk Melaksanakan Sesuatu Tugas
Pada Zaman Chunqiu, iaitu kira-kira 2000 tahun yang lalu, negeri Qin telah melancarkan serangan besar-besaran terhadap negeri Zhao. Akhirnya, tentera Qin berjaya mengepung Handan, ibu kota negeri Zhao, untuk memaksa raja negeri tersebut menyerahkan kuasa pemerintahannya. Pada saat yang genting itu, raja negeri Zhao memutuskan untuk menghantar Perdana Menterinya, Zhao Sheng ke negeri Chu untuk meminta bantuan tentera daripada negeri tersebut.
Sebelum berangkat, Zhao Sheng memanggil semua pengikutnya, untuk memilih seorang yang serba boleh daripada mereka untuk mengikutnya ke negeri Chu. Melihat Zhao Sheng susah untuk membuat pilihan, salah seorang pengikutnya yang bernama Mao Sui pun mencadangkan dirinya sendiri untuk dibawa bersama ke negeri Chu.
Melihat kemahuan dan azam yang kuat yang ditunjukkan oleh Mao Sui itu, ahkirnya, Zhao Sheng bersetuju untuk membawanya ke negeri Chu.
Sebaik sahaja tiba di negeri Chu, Zhao Sheng segera mengadap raja Chu di istana. Bagaimanapun, walaupun kedua-dua mereka telah berbincang panjang dari pagi hingga petang, namun sedikit kemajuan pun tidak tercapai. Melihat keadaan itu, Mao Sui yang menunggu di luar dewan istana itu, terus meluru masuk ke dalam dewan istana, sambil berkata dengan lantang,
"Tuanku membantu negeri Zhao melawan negeri Qin sesuai dengan kepentingan kedua-dua pihak. Situasi di negeri Zhao benar-benar sangat cemas. Mengapa tuanku masih berlengah-lengah membuat keputusan?"
Raja Chu menjadi berang, dan meminta Mao Sui supaya segera keluar dari dewan istana. Bagaimanapun, Mao Sui tidak mematuhi arahan raja Chu. Sebaliknya, dia bergegas mendekati raja itu dan mencabut keluar pedangnya, sambil berkata,
"Negeri Chu besar dan kaya, tetapi takut kepada negeri Qin. Kini negeri Zhao ingin bersekutu dengan negeri tuanku, tetapi tuanku tetap takut kepada mereka. Dengan sifat ini, bagaimana tuanku dapat mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan? Bagaimana pentadbiran yang tuanku terajui ini akan kekal lama? Nyawa tuanku kini berada di tangan hamba. Silalah tuanku buat keputusan dengan segera. "
Melihat hati raja Chu seolah-olah sudah tersentuh dengan pujukannya itu, Mao Sui menurunkan pedangnya, lalu menjelaskan secara lebih terperinci apa manfaat yang dapat diperoleh oleh negeri Chu jika negeri itu membantu negeri Zhao melawan serangan negeri Qin. Setelah berfikir beberapa lama, raja Chu berkenan dengan cadangan Mao Sui tersebut. Maka, baginda segera menghantar tenteranya ke negeri Zhao, dan berjaya membantu negeri tersebut menewaskan tentera negeri Qin.
Catatan Keterangan:
Peribahasa "Mao Sui Zi Jian" ini digunakan untuk mempersendakan seseorang yang sanggup mencadangkan dirinya sendiri untuk melaksanakan sesuatu tugas secara sukarela.