Cari:
Po Jing Chong Yuan
2009-12-02 12:22:56 CRI Cetak

Cermin yang Pecah Bercantum Semula

Pada abad ke-6 Masihi, bahagian utara China dikuasai oleh pemerintah Dinasti Sui. Bahagian selatan China pula terdiri daripada beberapa buah negeri yang kecil. Bagaimanapun, negeri-negeri tersebut ditawan satu demi satu oleh tentera kerajaan Sui, dan akhirnya, hanya tinggal negeri Chen sahaja.

Melihat situasi yang semakin tegang pada ketika itu, suami Puteri Le Chang di negeri Chen, iaitu Xu Deyan, percaya bahawa negerinya akan mengalami nasib yang sama seperti negeri-negeri yang lain itu, dan jika ini berlaku dia pasti akan terpisah dengan isteri yang begitu disayanginya itu. Oleh itu, dia mengambil sebuah cermin yang berbentuk bulat, dan membelah cermin itu menjadi dua keping. Sekeping disimpannya sendiri, dan sekeping lagi disimpan oleh isterinya. Mereka berjanji, jika benar-benar terpisah, mereka akan menjual cermin yang pecah itu di pasar di negeri Sui pada hari Cap Goh Meh, untuk mencarinya.

Tidak lama selepas itu, negeri Chen benar-benar ditumbangkan oleh negeri Sui. Xu Deyan terpaksa melarikan diri. Puteri Le Chang pula ditangkap oleh tentera Sui untuk dijadikan gundik bagi Yang Su, seorang menteri kanan di negeri tersebut.

Setelah mendapat berita bahawa isterinya berada di Daxing, ibu kota negeri Sui, Xu Deyan segera berangkat ke bandar tersebut untuk mencari isterinya.

Pada hari Cap Goh Meh yang dijanjikan itu, Xu Deyan yang berada di Daxing itu, terjumpa seorang wanita yang menjual separuh keping cermin di pasar raya. Dia segera mengambil keluar cermin yang separuh lagi yang disimpannya, dan cuba mencantumkannya dengan cermin milik wanitanya itu. Melihat kedua-dua belah cermin itu bercantum dengan baik menjadi sekeping cermin yang lengkap tanpa cacat sedikit pun, Xu Deyan berasa amat terharu. Bagaimanapun, setelah diketahuinya bahawa isterinya sudah menjadi gundik kepada seorang menteri kanan yang bernama Yang Su, dia berasa sangat kecewa. Dengan hati yang penuh duka, dia menulis serangkap puisi pada cermin itu:

Hilangnya cermin gangsa bersama cinta hatiku,

Bertemu semula cermin, di manakah pula kekasihku.

Dewa Bulan tidak lagi kelihatan,

Yang tinggal hanyalah cahaya bulan.

Wanita tersebut membawa pulang cermin itu, lalu diberikan kepada Puteri Le Chang. Setelah membaca puisi tersebut, puteri itu menangis tiap-tiap hari kerana terlalu rindu kepada suaminya. Menteri Yang Su berasa amat kasihan kepadanya. Maka, dia meminta Xu Deyan datang untuk membawa pulang isterinya. Dengan yang demikian, pasangan yang telah mengalami begitu banyak derita itu, bertemu semula, dan hidup dengan bahagia hingga ke akhir hayat mereka.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Po Jing Chong Yuan" ini membawa erti pasangan suami isteri yang bercerai atau terpisah akan berkahwin atau bertemu semula.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China