Cari:
Qian Ju Hou Gong
2009-12-16 09:47:58 CRI Cetak

Mula-Mula Menghina Seseorang, Kemudiannya Melayannya Dengan Penuh Hormat

Pada zaman Negeri-Negeri Berperang, iaitu abad ke-5 sebelum Masihi, China terdiri daripada tujuh buah negeri, iaitu negeri Qin, Chu, Yan, Han, Zhao, Wei dan Qin. Antaranya, negeri Qin adalah yang paling kuat kerana ia telah melaksanakan pembaharuan lebih awal. Pada ketika itu, di negeri Han, ada seorang pemuda bernama Su Qin yang mempunyai cita-cita yang tinggi untuk menceburi arena politik.

Pada suatu hari, Su Qin telah datang ke negeri Qin untuk mengesyorkan pandangan politiknya kepada raja Qin, dengan harapan untuk mendapat sesuatu jawatan di negeri tersebut. Bagaimanapun, pandangannya itu terus ditolak oleh raja Qin. Dengan perasaan penuh kecewa, Su Qin yang mengalami kesesakan wang itu, terpaksa pulang ke kampung halamannya di bandar Luoyang.

Melihat Su Qin pulang begitu saja, anggota keluarganya tidak menghormatinya lagi, dan memandang rendah padanya. Ada yang langsung tidak mahu bertegur sapa dengannya lagi, ada juga yang mempersendakannya. Dengan hati yang penuh duka, Su Qin membina azam untuk mempelajari taktik peperangan dengan tekun untuk mengubah nasibnya pada suatu hari nanti. Ketika belajar, dia akan menusuk pahanya dengan sebilah tusuk. Dengan cara itu, dia dapat belajar hingga larut malam hampir setiap hari.

Dengan ketekunannya yang berterusan, Su Qin akhirnya telah berjaya dengan cemerlang dalam bidang ketenteraan. Ketika melihat situasi yang semakin bergolak di China pada ketika itu akibat keganasan negeri Qin, dia telah mengembara ke negeri Yan, Zhao, Qi, Chu dan Wei, dan berjaya memujuk negeri-negeri tersebut untuk menjalinkan hubungan sekutu dengan negeri Han untuk menentang negeri Qin. Dia pun menjadi ketua kepada tentera bersekutu tersebut.

Pada suatu hari, Su Qin yang mengetuai angkatan tenteranya, lalu di kampung halamannya di bandar Luoyang. Pada hari itu, semua anggota keluarganya bersiap-siap menunggu di luar rumah untuk menyambut kepulangan Su Qin. Kakak iparnya yang dulunya selalu mempersendakannya itu, pun melayan Su Qin dengan penuh hormat. Su Qin tersenyum, sambil berkata,

"Dulu kakak selalu menghina saya. Sekarang ini, kakak melayan saya dengan begitu baik pula. Mengapa sikap kakak berubah begitu rupa?"

Kakak ipar Su Qin menjawab,

"Kamu sudah menjadi pembesar yang kaya raya. Mana kakak berani lagi melayan kamu seperti dulu?"

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Qian Ju Hou Gong" ini membawa erti sikap yang berubah-ubah ketika melayan seseorang, iaitu mula-mulanya memandang rendah kepadanya, kemudian melayannya pula dengan penuh hormat. Ia menasihati kita supaya jangan menilai orang lain dari sudut kekayaan, pangkat dan kekuasaan semata-mata.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China