Cari:
Si Mian Chu Ge
2009-12-30 10:36:40 CRI Cetak

Lagu Rakyat Negeri Chu Kedengaran di Mana-Mana Sahaja

Asal Usul:

Pada akhir abad ke-3 sebelum Masihi, pemerintah Dinasti Qin yang zalim itu telah menimbulkan kemarahan rakyat jelata. Lantaran itu, muncullah beberapa banyak kumpulan tentera pemberontak petani di merata-rata tempat di China. Antaranya, dua tentera yang paling kuat yang masing-masing diketuai oleh Xiang Yu dan Liu Bang. Xiang Yu merupakan seorang hulubalang dari negeri Chu yang gagah berani dalam pertempuran, tetapi kurang pandai menggunakan taktik perperangan. Liu Bang yang berasal daripada rakyat biasa itu pula sangat mahir dalam menggunakan taktik tersebut. Dalam peperangan untuk menumbangkan pemerintah Dinasti Qin itu, kedua-dua mereka sanggup bekerjasama dan saling membantu hinggalah mereka berjaya menumbangkan pemerintahan tersebut.

Bagaimanapun, sebaik sahaja pemerintah Dinasti Qin itu ditumbangkan, Xiang Yu dan Liu Bang yang dulunya akrab bagai saudara itu mula berperang sesama sendiri untuk merebut kuasa pemerintahan. Pertempuran terakhir antara mereka telah berlaku di suatu tempat yang bernama Gaixia, iaitu di Provinsi Anhui pada masa ini. Melalui beberapa pertempuran yang sengit, tentera yang diketuai oleh Liu Bang telah berjaya mengepung tentera yang diketuai oleh Xiang Yu. Meskipun sudah berada dalam keadaan yang merugikan, namun Xiang Yu masih memiliki 100 ribu orang askar. Maka bukanlah sesuatu hal yang mudah bagi Liu Bang untuk segera menghapuskan tentera Xiang Yu.

Pada suatu malam, Liu Bang mengarahkan askarnya supaya menyanyikan lagu rakyat negeri Chu, iaitu lagu rakyat kampung halaman tentera Xiang Yu secara terus-menerus. Xiang Yu dan askarnya berasa amat terkejut ketika mendengar lagu tersebut. Mereka tersilap menganggap anggota keluarga mereka telah ditangkap oleh tentera Liu Bang sebagai tebusan. Lagu yang biasa didengar itu juga menimbulkan kerinduan mereka terhadap kampung halaman. Keadaan ini menjadikan tentera Xiang Yu semakin risau sehingga mereka beramai-ramai melarikan diri.

Setelah mengalami kekalahan yang teruk, barulah Xiang Yu menyedari bahawa tindakan Liu Bang itu hanyalah satu strategi untuk mengganggu-gugat ketenteraman tenteranya. Dia yang tidak mahu menyerah diri itu, terpaksa membunuh diri.

Tidak lama selepas itu, Liu Bang telah memulakan pemerintahan Dinasti Han, dan melantik dirinya sebagai Maharaja Gaozu.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Si Mian Chu Ge" ini digunakan untuk menggambarkan situasi yang genting apabila seseorang dikepung oleh musuhnya dari segenap penjuru, tanpa seorang pun yang tampil memberikan bantuan. Ia juga membawa erti, apabila seseorang berhadapan dengan sesuatu kesukaran yang agak mencabar, apa jua yang terjadi seolah-olah meramalkan kegagalannya.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China