Pecahkan Periuk dan Tenggelamkan Perahu
Asal Usul:
Pada penghujung zaman Dinasti Qin, tentera negeri Qin yang melancarkan serangan besar-besaran terhadap negeri Zhao, telah mengepung tentera negeri tersebut di sesuatu tempat yang bernama Julu, iaitu di Kaunti Pingxiang, Provinsi Hebei sekarang ini. Pada saat yang genting itu, raja negeri Chu segera mengarahkan dua orang hulubalang yang paling perkasa di negerinya, iaitu Song Yi dan Xiang Yu, supaya mengetuai kumpulan tentera ke tempat tersebut untuk membantu negeri Zhao.
Bagaimanapun, setelah tiba di An Yang, iaitu di Kaunti Caoxian, Provinsi Shandong pada masa ini, Song Yi tidak mahu mara lagi. Tiap-tiap hari, dia minum dan berhibur-hibur sahaja. 46 hari sudah berlalu, namun, dia tidak menunjukkan sebarang keinginan untuk bertindak. Xiang Yu yang tidak dapat bertahan lagi dengan sikap Song Yi itu, berasa sangat marah dan kecewa sehingga dia membunuh Song Yi dengan alasan Song Yi telah melakukan pemberontakan.
Setelah Song Yi terbunuh, Xiang Yu pun mengetuai tentera Chu untuk mara ke Julu. Setelah merentasi Sungai Kuning, tiba-tiba, Xiang Yu mengarahkan tenteranya supaya memecahkan semua periuk yang dibawa mereka, dan menenggelamkan semua perahu yang dinaiki mereka. Setiap orang diminta supaya hanya membawa makanan untuk keperluan tiga hari sahaja. Dia mengingatkan tenteranya bahawa nasib mereka bergantung pada pertempuran kali ini sahaja. Maka, mereka mesti menang.
Tentera Xiang Yu faham bahawa perbuatan Xiang Yu tersebut adalah untuk mengukuhkan azam mereka supaya mereka berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Maka, dengan semangat perjuangan yang begitu berkobar-kobar, tentera negeri Chu yang sudah tiada jalan untuk berundur itu pun bertempurlah dengan tentera negeri Qin dengan penuh keberanian. Setelah bertempur dengan sengit beberapa kali, akhirnya, mereka berjaya mengalahkan tentera Qin.
Catatan Keterangan:
Peribahasa "Po Fu Chen Zhou" ini asalnya bermakna sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir kerana tiada jalan untuk berundur lagi. Ia juga membawa erti, membina azam yang kuat untuk mencapai sesuatu tujuan walau dengan apa jua cara sekalipun.