Cari:
Ai Wu Ji Wu
2010-01-13 13:03:18 CRI Cetak

  

  

Jika Sayang kepada Seseorang, Burung Gagak di Atas Bumbung Rumahnya Pun Disayangi

Asal Usul:

Pada abad ke-11 sebelum Masihi, Dinasti Shang yang sudah memerintah selama 600 tahun di China menjadi semakin lemah. Pentadbiran yang tidak adil, perang yang berlarutan bertahun-tahun lamanya, cukai dan beban yang dikenakan ke atas rakyat jelata yang semakin berat, serta tentangan daripada kalangan bangsawan yang semakin hebat, mengheretnya ke kancah kegawatan yang amat serius. Pada ketika itu, negeri Zhou, sebuah negeri yang ditadbir oleh Dinasti Shang, telah menjadi semakin kuat di Qishan, iaitu di Provinsi Shaanxi pada masa ini, sehingga akhirnya ia berjaya menumbangkan Dinasti Shang dan menubuhkan Dinasti Zhou.

Pada suatu hari, maharaja Dinasti Zhou, iaitu Raja Wuwang, memanggil pegawai-pegawai kanannya ke istana, dan bertanya kepada mereka, bagaimana menguruskan tawanan yang begitu ramai itu. Salah seorang daripada mereka menjawab:

"Hamba pernah mendengar orang berkata, jika sayang kepada seseorang itu, burung gagak yang bertenggek di atas bumbung rumahnya pun kita sayangi. Sebaliknya, kalau kita benci kepadanya, nampak dinding atau pagar rumahnya pun rasa meluat. Tawanan itu musuh kepada kita. Lebih baiklah kita bunuh mereka semua."

Raja Wuwang merasakan perbuatan sedemikian terlalu zalim, lalu menolak cadangan tersebut.

Seorang lagi pegawai mengemukakan cadangannya:

"Tawanan yang disahkan bersalah dan tidak bersalah patut diberikan layanan yang berbeza. Tuanku boleh membebaskan mereka yang tidak bersalah, tetapi mereka yang disahkan bersalah mesti dibunuh, kerana mereka inilah saki baki pejuang yang berbahaya yang mungkin mengancam negeri kita pada suatu hari nanti."

Raja Wuwang juga tidak berkenan dengan cadangan itu.

Kemudiannya, seorang lagi pula menampilkan diri, sambil berkata,

"Hamba rasa, semua tawanan patut dibebaskan. Berikanlah tanah kepada mereka supaya mereka dapat menggunakan tenaga sendiri untuk memulakan hidup baru. Selain itu, janganlah tuanku bersikap pilih kasih terhadap sesiapa pun ketika memberikan ganjaran atau hukuman kepada rakyat, baik dia orang biasa atau pun keturunan diraja. Jika negeri ditadbir mengikut lunas undang-undang, barulah dapat memenangi keyakinan rakyat."

Raja Wuwang berasa bahawa cadangan tersebut masuk akal. Maka, dengan memilih cara itu, baginda berjaya membangunkan negerinya sehingga menjadi sebuah negeri yang stabil, makmur dan kuat.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Ai Wu Ji Wu" ini membawa erti, jika sayang kepada seseorang itu, orang lain atau benda yang ada kaitan dengannya pun disayangi.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China