Menumbuhkan Semaian dengan Menariknya ke Atas
Asal Usul:
Pada zaman Chunqiu, iaitu kira-kira 2000 tahun yang lalu, di Negeri Song, ada seorang petani yang bersifat kurang sabar. Sejak anak benih tanamannya mula bertunas, hampir setiap hari, petani itu tidak jemu-jemu pergi ke sawahnya untuk melihat berapa tinggi semaiannya sudah tumbuh. Bagaimanapun, dia amat kecewa kerana tanamannya membesar terlalu perlahan. Dia memeras otak, cuba mencari jalan supaya dapat memperoleh hasil dengan lebih cepat.
Tiba-tiba, pada suatu hari, petani itu terfikir suatu cara yang dianggapnya sangat masuk akal. Dia bergegas ke sawahnya, lalu menarik semaiannya ke atas satu persatu. Walaupun penat sekali, hatinya tetap berasa sangat gembira apabila melihat tanamannya menjadi lebih tinggi.
Selepas menghabiskan kerja tersebut, petani itu pun pulanglah ke rumah, lalu memberitahukan cara "bijak" itu kepada anaknya. Setelah mendengar perbuatan bapanya itu, anaknya pun bergeas ke sawah. Sayang sekali, yang terpampang di depan matanya, hanyalah tanaman yang sudah mati.
Catatan Keterangan:
Peribahasa "Ba Miao Zhu Zhang" ini membawa erti, menarik semaian ke atas untuk membantunya tumbuh dengan lebih cepat. Peribahasa ini digunakan untuk mempersenda perbuatan yang tidak mengikut hukum alam. Ia juga menasihati kita supaya bersabar dan tidak mengharapkan hasil kerja yang cepat dan segera.