Cari:
Nong Qiao Cheng Zhuo
2009-11-10 14:43:50 CRI Cetak

Mahu Tunjuk Pandai, Tetapi yang Ternampak Kebodohannya

Pada zaman Dinasti Song Utara, ada seorang pelukis yang tersohor bernama Sun Zhiwei. Dia sangat pandai melukis potret dan figura, sehingga ramai orang ingin berguru dengannya.

Pada suatu hari, Sun Zhiwei diminta melukis sebuah potret untuk Dewa Matahari. Setelah bentuk lakaran selesai, dia mengambil berus untuk mewarnakan lukisan itu. Pada ketika itu, seorang kawannya datang menjemputnya pergi minum arak. Sebelum keluar, dia berpesan kepada para pelajarnya:

"Bentuk lukisan ini sudah saya selesaikan tadi. Hanya tinggal proses mewarnakannya. Inilah kerja kamu semua nanti. Kena berhati-hati, jangan tersilap memilih warna ya! Moga-moga lukisan ini siap diwarnakan apabila saya pulang."

Sebaik sahaja Sun Zhiwei meninggalkan tempat itu, pelajar-pelajarnya segera berkumpul untuk melihat lukisan tersebut. Mereka sangat kagum dengan kepandaian guru mereka melakar sehingga dewa dalam lukisan itu kelihatan seperti hidup. Bagaimanapun, seorang pelajar yang bernama Tong Renyi berkata,

"Cuba lihat jambangan yang dipegang oleh Dewa Matahari ini. Saya ingat, setiap kali tuan guru kita melukis jambangan, dia pasti akan melakar sekuntum bunga pada jambangan itu. Tetapi jambangan dalam lukisan ini kosong sahaja. Pastilah tuan guru telah lupa atau tak sempat melukis bunga tersebut."

Selepas melafazkan kata-kata itu, Tong Renyi mengambil berus dan melakar sekuntum bunga plum pada jambangan dalam lukisan itu.

Selepas pulang dari rumah kawannya, Sun Zhiwei terkejut apabila ternampak pada jambangan dalam lukisannya telah ditambah sekuntum bunga. Dia berkata dengan marah:

"Siapakah yang telah melukis bunga ini? Dia yang mahu tunjuk pandai, tetapi yang ternampak kebodohannya! Jambangan ini digunakan oleh Dewa Matahari untuk menangkap hantu air. Setelah ditambah sekuntum bunga, harta karun yang tak ternilai ini menjadi lukisan biasa sahaja."

Sebaik sahaja habis bercakap, Sun Zhiwei terus mengoyakkan lukisannya itu. Tong Renyi yang berdiri di sisinya, berasa sangat malu.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Nong Qiao Cheng Zhuo ini digunakan untuk mempersendakan seseorang yang cuba menunjukkan kepandaian, tetapi yang ternampak kebodohannya.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China