Menanda Sisi Perahu Untuk Cari Pedang Yang Jatuh ke Sungai
Asal Usul:
Pada zaman Negeri-Negeri Berperang, iaitu lebih 2000 tahun yang lalu, di Negeri Chu, ada seorang lelaki yang mahu menyeberangi sungai dengan menaiki perahu. Apabila sampai ke tengah sungai itu, tiba-tiba, pedang yang terikat pada pinggangnya terjatuh ke dalam sungai. Dia segera membuat tanda pada bahagian sisi perahu yang dinaikinya itu, sambil berkata,
"Inilah tempat pedang saya terjatuh."
Maka, sebaik sahaja perahu itu berlabuh, lelaki itu pun terjun ke dalam sungai dari tempat yang sudah ditandanya itu, untuk mencari pedangnya. Bodoh benar lelaki ini! Fikirnya, pedangnya yang terjatuh ke dalam sungai itu boleh bergerak bersama perahunya yang belayar itu?
Catatan Keterangan:
Peribahasa "Ke Zhou Qiu Jian" ini digunakan untuk menyindir orang atau golongan yang mempunyai pemikiran yang dangkal, sempit dan ketinggalan jika dilihat dari realiti semasa. Orang atau golongan ini masih berpegang kuat kepada rutin-rutin yang lama, dan tidak tahu menyesuaikan diri dengan situasi yang berubah-ubah ketika menguruskan sesuatu hal.