Duduk di Tepi Tunggul Untuk Menunggu Kedatangan Arnab
Asal Usul:
Pada zaman Chunqiu, iaitu tahun 770 Sebelum Masihi hingga tahun 476 Sebelum Masihi, di negeri Song, ada seorang petani miskin yang suka berangan-angan pada siang hari untuk memperoleh hasil kerja dengan mudah.
Pada suatu hari, ketika bekerja di sawahnya, petani itu ternampak seekor arnab berlari dengan pantas menuju ke arahnya, dan terlanggar tunggul yang berada di petak sawahnya itu, lalu terus mati akibat patah tengkuk. Dia pun membawa arnab itu pulang ke rumah, dan memasak dagingnya untuk menjamu selera.
Selepas puas makan, petani itu pun berbaring di atas katil, sambil berfikir,
"Mengapa saya perlu bersusah payah bekerja di sawah lagi? Saya hanya perlu menunggu arnab di tepi tunggul tiap-tiap hari. Itu sudah cukup bagi saya untuk makan sehari."
Maka, sejak itu, petani tersebut tidak lagi berkerja seperti dahulu. Dia hanya menunggu di tepi tunggul yang ada di sawahnya itu, dengan harapan dapat jumpa arnab yang mati terlanggar tunggul itu. Bagaimanapun, beberapa bulan sudah berlalu, tidak ada seekor arnab pun yang muncul di sana.
Akibat dairpada perbuatannya itu, dia telah menjadi bahan ketawa di negerinya.
Catatan Keterangan:
Peribahasa "Shou Zhu Dai Tu" ini membawa erti, mendapat untung yang bertimbun-timbun banyaknya secara tidak disangka-sangka. Ia digunakan untuk menyindir orang atau golongan yang selalu mengharapkan hasil kerja, keuntungan atau kekayaan tanpa berusaha atau bersusah-payah.