Rusa Dikatakan Kuda
Asal Usul:
Pada zaman pemerintahan Maharaja Qin'ershi, iaitu maharaja kedua dan juga yang terakhir bagi Dinasti Qin, seorang pegawai kanan bernama Zhao Gao yang pernah membantu Maharaja tersebut naik takhta, mula menunjukkan hasrat untuk merampas kuasa. Bagaimanapun, dia tidak pasti bahawa dalam kerajaan itu, berapa orangkah yang mahu menjadi pengikutnya, dan berapa pula yang akan menentangnya. Maka, dia cuba memikirkan cara yang bijak untuk menguji sikap menteri-menteri yang lain terhadapnya.
Pada suatu hari, Zhao Gao telah membawa seekor rusa ke istana, dan berkata kepada Maharaja Qin'ershi:
"Inilah seekor kuda yang sangat unggul. Hamba ingin mempersembahkannya kepada Tuanku."
Maharaja itu tertawa kuat-kuat, sambil berkata:
"Tersilaplah kamu. Ia rusa. Kenapa kamu memanggilnya kuda?"
Zhao Gao menjawab dengan serius:
"Silalah tuanku tengok dengan teliti. Ini benar-benar chollima (baka sejenis kuda yang boleh berlari sehingga 1,000 Li sekalipun dalam masa sehari). Kalau tuanku tak percaya kepada kata-kata hamba, cubalah tanya menteri-menteri yang ada di sini."
Apabila melihat senyuman jahat yang terukir pada bibir Zhao Gao, para menteri mula memahami niat sebenarnya. Maka, respons daripada menteri tersebut pun berbeza-beza. Mereka yang bersifat penakut hanya diam sahaja kerana takut dimarahi Zhao Gao setelah menyatakan kebenaran. Mereka yang bersifat jujur dan suka berterus terang, berkeras mengatakan bahawa binatang itu ialah rusa, bukannya kuda. Manakala mereka yang ingin menggembirakan hati "bakal maharaja" itu pula, sepakat menyatakan bahawa binatang itu memanglah seekor chollima.
Sebenarnya, dalam proses tersebut, Zhao Gao sudah mengingat nama menteri-menteri yang ingin menentangnya secara diam-diam. Selepas peristiwa itu, kesemua mereka itu dibunuhnya seorang demi seorang dengan bermacam-macam alasan.
Catatan Keterangan:
Peribahasa "Zhi Lu Wei Ma" ini membawa erti yang sama dengan peribahasa "Hitam dikatakan putih, putih dikatakan hitam", iaitu berdusta atau yang buruk dikatakan baik, dan yang baik dikatakan buruk. Ia digunakan untuk mempersenda perbuatan yang menterbalikkan yang benar dengan yang salah secara sengaja.