Melihat Seseorang Dengan Pandangan Baru
Asal Usul:
Pada zaman kerajaan Tiga Negeri, iaitu tahun 220 Masihi hingga tahun 280 Masihi, di negeri Wu, ada seorang hulubalang kanan yang bernama Lu Meng. Dia dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat miskin. Jadi, ketika masih kecil, dia tiada peluang untuk bersekolah. Apabila berkhidmat dalam pasukan tentera ketika dewasa pula, masanya untuk membaca buku menjadi semakin kurang.
Pada suatu hari, raja negeri Wu memanggil Lu Meng ke istana, dan bertitah kepadanya,
"Sekarang kamu sudah menjadi hulubalang kanan. Kamu kena banyak membaca untuk meluaskan pandangan dan pemikiranmu."
Lu Meng menjawab,
"Hamba memang terlalu sibuk dengan urusan ketenteraan. Hamba takut tiada masa untuk membaca."
Raja negeri Wu bertanya dengan serius,
"Adakah kamu lebih sibuk daripada beta? Beta pun meluangkan masa setiap hari untuk membaca buku-buku tentang taktik peperangan. Banyak kebaikan yang sudah beta peroleh daripada buku tersebut. Dengan menimba pengalaman orang dahulu, kamu boleh mencapai kemajuan yang lebih besar."
Lu Meng amat bersetuju dengan cadangan Raja negeri Wu itu. Maka, sejak itu, dia mula belajar dengan bersungguh-sungguh. Walaupun sibuk sangat, dia sanggup menghabiskan masa beberapa jam setiap hari untuk membaca buku sejarah dan buku dalam bidang ketenteraan.
Pada suatu hari, Menteri negeri Wu, Lu Su datang menziarahi Lu Meng untuk membincangkan urusan ketenteraan dengannya. Menteri yang sebelum itu amat memandang rendah pada Lu Meng ini, menjadi terkejut apabila mendapati bahawa Lu Meng sudah menjadi seorang yang berpengetahuan luas. Dia berkata kepada Lu Meng dengan hairan,
"Saya tidak sangka, awak boleh menjadi orang yang begitu banyak pengetahuan seperti sekarang."
Mendengar kenyataan itu, Lu Meng tertawa, sambil berkata
"Kamu patut melihat seseorang itu dengan pandangan yang baru walaupun baru berpisah dengannya selama tiga hari sahaja."
Catatan Keterangan:
Peribahasa "Gua Mu Xiang Kan" membawa erti, melihat seseorang dengan pandangan yang baru, atau melayan orang itu dengan lebih hormat. Ia digunakan untuk mempersendakan sesuatu perubahan besar yang berlaku pada seseorang atau sesuatu.