Cengkadak Menangkap Riang-Riang Tanpa Menyedari Ada Kepudang di Belakangnya
Asal Usul:
Peribahasa "Tang Lang Bu Chan, Huang Que Zai Hou" ini berasal daripada satu cerita yang berlaku pada zaman Chunqiu atau Musim Bunga dan Gugur (tahun 770- 476 Sebelum Masihi). Menurut ceritanya, pada suatu hari, raja negeri Wu merancang untuk menyerang negeri Chu. Bagaimanapun, rancangannya itu telah menimbulkan bantahan yang keras daripada pegawai-pegawai kerajaan, sehingga menyebabkan baginda menjadi berang, dan bertitah dengan kata-kata, "Siapa sahaja yang berani menghalang rancangan beta, akan dibunuh, tidak kira apa pun alasannya!" Dengan itu, tiada seorang pun yang berani untuk memujuk atau menasihati baginda lagi.
Pada ketika itu, ada seorang pengawal muda di istana yang terfikir satu cara yang bijak. Tiap-tiap pagi, dia akan berjalan di sekitar taman yang sering dikunjungi oleh raja negeri Wu itu, dengan memegang lastik dan beberapa biji "peluru" gentelan. Sesekali dia mendongak juga untuk melihat pucuk pokok-pokok yang tinggi dalam taman itu, dan kadang-kadang baju dan kasutnya habis basah oleh titisan embun.
Suatu hari, ketika melihat keadaan itu, Raja negeri Wu pun bertanya dengan hairan,
"Apa kamu buat di sini?"
Pengawal itu menjawab,
"Maaf tuanku. Tadi hamba ternampak ada seekor raing-riang yang sedang berehat di atas pokok itu, tetapi ia tidak sedar ada bahaya di belakangnya? "
"Apa yang terjadi?" Raja itu bertanya.
"Di belakangnya ada seekor cengkadak yang sedang menghulurkan lengannya, untuk menangkap raing-riang itu."
Pengawal itu meneruskan ceritanya,
"Sayangnya, cengkadak itu juga tidak sedar ada seekor burung kepudang di belakangnya yang sudah pun menjulurkan lehernya dan bersiap-siap untuk memakannya."
"Lalu?" tanya raja itu lagi.
"Sayangnya, burung kepudang itu juga tidak sedar ada hamba yang sudah menyiapkan lastik di bawah ini."
Ketika melihat rajanya begitu tertarik dengan ceritanya, pengawal itu terus menjelaskan,
"Hamba rasa, ketiga-tiganya ini hanya melihat keuntungan yang ada di depan mata masing-masing sahaja, tetapi tidak tahu ada bahaya di belakangnya. Sebenarnya, kadang-kadang kita juga seperti mereka, tidak tahu mengira risiko yang akan kita tanggung daripada setiap tindakan yang kita lakukan. Ekorannya, risiko yang akan kita hadapi mungkin jauh lebih besar daripada keuntungan yang kita peroleh."
Raja negeri Wu merasakan kata-kata pengawal itu sangat masuk akal. Maka, setelah pulang, baginda segera membatalkan rancangannya untuk menyerang negeri Chu itu.
Catatan Keterangan:
Peribahasa "Tang Lang Bu Chan, Huang Que Zai Hou" ini bererti, cengkadak mahu menangkap raing-riang tanpa menyedari ada burung kepudang di belakangnya yang sudah bersiap-siap untuk memakannya. Peribahasa ini menasihati kita supaya jangan hanya mengejar keuntungan yang ada di depan mata sahaja, tanpa mengetahui dan mengira bahaya yang ada di belakangnya.