Bermain dengan Api Kelak Terbakar Diri
Asal Usul:
Pada zaman Chunqiu atau Musim Bunga dan Gugur (tahun 770- 476 Sebelum Masihi), putera negeri Wei, Zhou Yu telah membunuh abangnya, iaitu Maharaja Weihuangong, dan merampas kuasa pemerintahan negeri tersebut.
Zhou Yu ialah seorang pemerintah yang sangat zalim sehingga sanggup menindas rakyatnya dengan sewenang-wenangnya. Di samping itu, baginda juga tidak pernah menghentikan percubaannya untuk menjalinkan hubungan bersekutu dengan negeri Song, negeri Chen dan negeri Cai untuk menyerang negeri-negeri yang lain. Baginda benar-benar mahu menggunakan peperangan untuk mengalihkan perhatian rakyat jelata, agar mengurangkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pemerintahannya.
Setelah mendapat tahu Zhou Yu telah merampas kuasa negeri Wei, dan berniat untuk menaklukkan negeri-negeri yang lain, maharaja negeri Lu bertanya kepada seorang pegawai kanannya dengan serius,
"Pada pandangan kamu, dapatkah niat jahat Zhou Yu itu tercapai?"
Pegawai itu menjawab,
"Zhou Yu asyik berperang sahaja. Ini telah membawa banyak kesengsaraan kepada rakyatnya. Baginda pasti akan kehilangan sokongan daripada mereka. Malahan, fikiran baginda sentiasa berubah. Jadi, baginda mustahil mempunyai sahabat rapat yang sanggup membantunya. Tambahan pula, perang itu seperti api. Sesiapa sahaja yang tidak habis-habis berperang tanpa batas, akhirnya dia pasti akan terbakar juga."
Seperti yang dijangka, dalam masa tidak sampai setahun, rakyat negeri Wei telah berjaya menggulingkan Zhou Yu, dan membunuhnya dengan bantuan negeri Chen.
Catatan Keterangan:
Peribahasa "Wan Huo Zi Fen" atau "Bermain dengan Api Kelak Terbakar Diri" ini membawa erti yang sama dengan peribahasa "Bermain dengan Pisau Kelak Terluka Tangan", iaitu siapa sahaja yang melakukan perbuatan jahat, pasti akan merugikan dirinya sendiri akhirnya.