Cari:
Tao Yuanming, Penyajak Petani yang Cemerlang di China pada Zaman Purba (4)
2010-10-20 10:00:48 CRI Cetak
Kali ini beliau benar-benar dikatakan bertapa kerana Yuanming tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Jika ditinjau riwayat hidup Tao Yuanming ini, kita akan mendapati penyajak ini amat menyukai alam sekitar dan tidak suka terikat pada adat yang berbau politik. Ini dapat dibuktikan melalui dalam karyanya yang bertajuk "Gui Tian Yuan Ju". Dalam puisi ini, Yuanming menyuarakan isi hatinya seperti berikut, "Aku sejak kecil lagi tidak suka terikat dengan apa yang disebut 'kesantunan masyarakat', dan kegemaranku yang sebenar adalah menjalani kehidupan di kawasan desa. Sedar tak sedar, 13 tahun sudah berlalu sejak aku menceburkan diri dalam arena politik, yang sesungguhnya kulihat sebagai satu kesilapan." Kesian, orang seperti ini pasti berasa kesal jika bertugas dalam jabatan kerajaan kerana dia terpaksa mematuhi "kesantunan politik" yang bermacam-macam itu.

Setelah meletakkan jawatannya dalam kerajaan yang bermakna menghentikan usaha mengejari apa yang disebut "nama, jasa dan pendapatan", Tao Yuanming dapat menikmati satu dunia baru yang jauh berbeza daripada yang dahulu. Yuanming didapati sudah naik ke tahap yang lebih tinggi dari segi rohani, dan hal ini terbukti dalam karyanya.

Contohnya, dia menulis "Aku menanam kacang di kaki Gunung Nanshan, semaianku tidak kelihatan tumbuh banyak kerana rumput di sekitarnya masih agak subur. Aku membuang semak di ladang sejak awal pagi. Hingga malam hari, barulah aku pulang ke rumah dengan memikul tajak di bahu." Kata-kata yang digunakan dalam puisi ini bukan sahaja ringkas dan mudah difaham, malah gambaran yang ditunjukkan di dalamnya amat menyenangkan.

Zaman Dinasti Jin Timur memperlihatkan keadaan berpecah-belah dalam politik di China, dan pengembangan agama Buddha menjadi semakin popular. Ketika itu juga muncul ramai cendekiawan yang beretika tinggi di China. Tao Yuanming yang berbakat besar dalam bidang sastera ini justru hidup pada zaman itu.

Ramai penyajak yang tersohor di China pada zaman purba seperti Li Bai, Du Fu, Bai Juyi, Su Shi dan Lu You amat menghormati Tao Yuanming, malah memberikan penghargaan tinggi kepada karyanya. Mereka amat terpengaruh dengan Tao Yuanming, baik dari segi menghasilkan puisi, mahupun dari segi memilih cara hidup.

Karya ciptaan Tao Yuanming berorientasikan "bangun" dari mimpi yang sesat, iaitu manusia bukan sahaja memerlukan kehidupan kebendaan, tetapi juga tidak terlepas daripada kehidupan rohani. Apabila terbaca puisi "Cai Ju Dong Li Xia, You Ran Jian Nan Shan" (Ketika memetik bunga kekwa di bawah pagar di sebelah timur rumahku, aku berasa selesa dan menikmati segala pemandangan di sekitar, khususnya melihat Gunung Nanshan yang jauh), kita terus berasa santai dan segala tekanan yang kita hadapi seolah-olah hilang semuanya, sehingga kita dapat hidup sebebas-bebasnya dari segi rohani.

Zaman Jin Barat dan Jin Timur mengutamakan ajaran dari kitab "Zhuangzi" dan "Laozi", dan mengetepikan ajaran dari kitab "Liu Jing". Tetapi, Tao Yuanming yang hidup pada zaman itu, bukan sahaja mempelajari kitab "Laozi" dan "Zhuangzi" seperti cendekiawan yang lain, tetapi juga mempelajari kitab "Liu Jing", sebuah buku ajaran Konfusius dan buku sejarah serta mitos yang kesemuanya dianggap sebagai "buku aneh" ketika itu.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China