Cari:
Berhati-hati Melontari Tikus Takut Balang di Sebelahnya Pecah (Tou Shu Ji Qi)
2010-12-07 10:58:07 CRI Cetak

Berhati-hati Melontari Tikus Takut Balang di Sebelahnya Pecah

Asal Usul:

Dalam buku "Han Shu", iaitu "Catatan Sejarah Zaman Dinasti Han", terdapat sebuah cerita tentang seorang lelaki kaya yang sangat gemar akan barang-barang antik. Menurut ceritanya, antara koleksi yang disimpan oleh si kaya itu, ada sebiji balang yang diperbuat daripada jed, yang jarang ditemui di tempat lain. Balang itu sangat halus buatannya, dan mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Si kaya itu benar-benar sangat sayang kepada balang itu.

Pada suatu malam, si kaya itu terlihat seekor tikus yang melompat ke dalam balang antik kesayangannya itu untuk makan baki makanan yang tertinggal di dalamnya tanpa disedarinya. Si kaya itu menjadi berang. Dia segera mengambil seketul batu, lalu melontarnya ke arah tikus itu. Pastinya tikus itu terbunuh. Bagaimanapun, sayang sekali, balang jed yang sangat berharga itu juga pecah.

Peristiwa tersebut menjadikan si kaya itu berasa sangat sedih. Dia amat sesal dengan perbuatannya yang mengikut rasa marahnya itu hingga menyebabkan kerugian yang begitu besar, yang tidak dapat ditebus lagi dengan apa jua. Pada ketika itu, barulah dia sedar bahawa tindakan yang hanya mementingkan keuntungan yang ada di depan mata sahaja tanpa memikirkan akibatnya, akan membawa bahaya atau kerugian yang besar kepada dirinya sendiri. Dia mahu menggunakan pengalamannya itu untuk mengingatkan orang lain supaya menahan diri daripada bertindak dengan melulu, dan jangan merosakkan barang-barang berharga milik sendiri semata-mata kerana mahu membunuh seekor tikus.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Tou Shu Ji Qi" atau "Berhati-hati Melontari Tikus Takut Balang di Sebelahnya Pecah" ini membawa erti, menahan diri daripada mengambil tindakan terhadap orang jahat semata-mata kerana takut membawa bahaya kepada orang baik. Peribahasa ini digunakan untuk menyindir orang atau golongan yang terlalu berhati-hati ketika melakukan sesuatu perkara.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China