Setiap Kata yang Terucap Dikotakan
Asal Usul:
Pada zaman Negeri-Negeri Berperang (tahun 475-221 Sebelum Masihi), di negeri Qin, ada seorang Perdana Menteri yang bernama Shang Yang. Dengan bakatnya yang luar biasa dalam bidang politik, dia dipandang tinggi dan amat dihormati oleh raja negeri tersebut.
Pada tahun 359 Sebelum Masihi, Shang Yang merancang untuk melaksanakan pembaharuan yang menyeluruh di negeri Qin. Bagaimanapun, dia bimbang rakyat jelata tidak yakin pada keupayaan kerajaan. Oleh itu, dia mahu membuat sesuatu untuk mendapatkan kepercayaan mereka. Setelah berfikir beberapa lama, dia akhirnya telah mendapat satu idea.
Pada suatu hari, Shang Yang telah menegakkan sebatang tiang yang tingginya 10 meter di luar pintu selatan ibu kota Xianyang. Dia memberitahu orang ramai yang berkerumun di situ bahawa sesiapa sahaja yang mampu membawa tiang itu ke luar pintu utara, akan diberikan ganjaran sebanyak 10 Liang perak (1 Liang = 31 gram). Orang ramai yang mendengar berita itu berasa sangat hairan, tetapi tiada seorang pun yang berani mencuba. Melihat tiada respons daripada mereka, Shang Yang pun meninggikan suaranya, lalu mengumumkan,
"Siapa sahaja yang membawa tiang ini ke luar pintu utara, akan diberikan ganjaran sebanyak 50 Liang perak."
Pada ketika itu, tampil seorang lelaki yang berani untuk mencuba. Apabila dia berjaya membawa tiang itu ke tempat yang ditetapkan, Shang Yang segera memberikan ganjaran sebanyak 50 Liang perak itu kepadanya. Orang lain yang ada di situ berasa sangat sesal kerana terlepas peluang yang begitu baik untuk mendapat wang dengan mudah.
Dengan peristiwa tersebut, rakyat jelata mula percaya kepada keikhlasan kerajaan dalam usaha untuk memacu ekonomi negeri melalui rancangan pembaharuan yang berkenaan. Dengan sokongan yang padu daripada mereka, pembaharuan yang diperkenalkan oleh Shang Yang akhirnya benar-benar berjaya hingga menjadikan negeri Qin, negeri yang paling kuat pada masa itu. Usaha tersebut juga telah menjadi asas yang kukuh kepada penyatuan negara China yang dijayakan oleh raja negeri Qin, Ying Zheng atau Maharaja Shihuangdi kira-kira 100 tahun selepas itu.
Catatan Keterangan:
Peribahasa "Yi Yan Wei Zhong" ini membawa erti, setiap kata atau janji yang dilafazkan akan ditunaikan. Peribahasa ini sering digunakan untuk menegaskan semula bahawa janji yang dibuat oleh seseorang itu pasti akan ditunaikan.