Cari:
Estetika Bunga Orkid dalam Budaya Melayu
2012-12-24 17:55:40 CRI Cetak

Muzium Negara pernah mengadakan satu pameran tentang cara hidup tradisional orang Melayu. Beberapa barangan tipikal orang Melayu dipilih dan dibentang untuk tatapan para pelancong. Antaranya terdapat pameran kain batik yang sangat menarik. Menurut pekerja Muzium Negara, "orang Melayu amnya mengecop batik dengan menggunakan blok tembaga bermotifkan bunga atau flora di atas meja yang dialas dengan sekam, padi, guni, batang pisang gala yang telah dicelup dengan air soda bekas pemanas lilin atau corong lilin." Imej bunga orkid dicop di atas batik tersebut. Mereka mengatakan bahawa bentuk orkid lebih sesuai direka di atas kain kerana kesan estetiknya juga berlainan antara satu sama lain. Malahan, kepelbagaian bunga orkid sering diberikan keutamaan dalam pilihan bentuk untuk mencipta pakaian, bukan hanya pakaian wanita tetapi juga bagi pakaian lelaki. Oleh yang demikian, orkid menjadi corak bunga yang paling sering ditemui dalam kehidupan harian orang Melayu.

Masyarakat Melayu juga kaya dengan adat budaya dan budaya tradisi yang unik terutamanya dalam majlis perkahwinan. Dalam sesuatu majlis perkahwinan Melayu, selain daripada penampilan mempelai itu sendiri, gubahan yang mengiringi kedua belah pihak turut menjadi tumpuan. Biasanya, hiasan yang menyerikan hantaran adalah antara perkara yang sering diberi perhatian. Pelbagai hiasan digunakan untuk menambah cantik lagi gubahan hantaran selain daripada dulang dan alas dulang itu sendiri. Bunga dulang yang cantik dan menarik mampu memberi penampilan yang menyerlah. Oleh sebab bunga menyampaikan perasaan yang berbeza dengan jenis dan warna yang lain, orkid diingini sebagai hiasan majlis perkahwinan. Ini kerana bunga orkid mempunyai kepelbagaian warna yang menyerlah. Misalnya warna kuning, merah, pink, dan sebagainya ialah warna yang sentiasa disukai pada majlis perkahwinan. Pada masa sama, bau wangi juga diperlukan tetapi tidak terlalu kuat untuk menarik perhatian daripada pengantin. Bunga orkid mempunyai pelbagai jenis bentuk kelopak, warna, dan bau wanginya tidak terlalu kuat. Pada hakikatnya, orkid sudah lama digunakan pada upacara perkahwinan tradisional Melayu, malahan pada majlis perkahwinan bercorak gaya barat.

Selain sebagai peranan utama hiasan majlis perkahwinan, bunga orkid juga sentiasa dilihat di rumah orang-orang Melayu. Bunga orkid banyak ditanam di kebun-kebun, halaman rumah, pasu bahkan di dalam ruangan sebagai dekorasi di sekitar rumah. Bukan hanya kerana wanginya yang banyak digunakan sebagai hiasan, tetapi juga kerana warna dan bentuknya yang begitu menarik. Ruangan yang mempunyai bunga di dalamnya akan kelihatan begitu indah, sejuk dan menyamankan.

Satu kebiasaan orang Melayu di Malaysia menanam bunga orkid adalah dalam pasu buang yang berbagai bentuk dan warna. Pasu bunga yang dipilih biasanya kecil atau sederhana agar mudah dibawa ke luar rumah untuk memperolehi cahaya matahari supaya bunga orkid itu boleh berkembang secara lebih baik. Kadangkala diletakkan di dalam rumah untuk menikmati bau wangi dan keindahan bunga itu. Lebih tradisionalnya, ada orang Melayu menggunakan tempurung kelapa sebagai pasu orkid dan menggantungkannya di cucur atap rumah mereka. Penduduk kampung sememangnya suka menanam bunga orkid yang berwarna-warni dalam tempurung kelapa lalu menggantungnya di luar rumah. Hasilnya, dia dan keluarganya dapat melihat pelbagai warna bunga dan menikmati bau wangi yang berbeza tiap-tiap hari apabila ke luar atau pulang ke rumah. Hal ini dapat menjelaskan bahawa orang Melayu begitu menyukai bunga orkid setanding dengan bunga raya. Ini juga membuktikan bahawa bunga orkid mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam masyarakat Melayu.

Salah satu bidang lain yang mustahak berkaitan budaya orkid ini wujud dalam kesusasteraan Melayu. Antaranya, pantun teka teki popular yang disebar oleh orang Melayu, berbunyi "Bunga orkid indah warnanya, Penyeri taman perindah hutan; Ramai orang datang bertanya, Tapak siapa hidup di lautan?" (Mohamad Naim Daipi, 2010, Pantun Klasik Teka-Teki. HYPER RESOURCES INTERACTIVE PTE LED.) Jawapan pantun itu ialah tapak Sulaiman, salah seorang Nabi Allah. Imej bunga orkid dalam pantun ini semuanya indah dan cantik. Gambaran imejnya telah menyampaikan sejenis perasaan yang mulia dan mudah. Selain bidang sastera, orang Melayu juga menganggap bunga orkid sebagai simbol kesabaran kerana penanaman bunga orkid boleh membentuk kesabaran seseorang. Mengusahakan dan menjaga bunga orkid termasuklah juga pekerjaan yang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

"Pekerjaan ini memerlukan ketekunan, ketelitian, kesabaran dan keberanian tersendiri. Jika tidak, anggerek yang diusahakan tidak boleh berbunga dengan baik, tidak tumbuh secara optium, malah mati sebelum boleh dinikmati keindahannya (Ayub S. Pamata, 2010, hlm 66)."

Oleh yang demikian, mengusahakan pertumbuhan bunga orkid merupakan pekerjaan yang mampu membentukkan kesabaran dan ketelitian seseorang. Bunga orkid dapat mengekalkan kesabaran apabila ingin menyelesaikan masalah.Tambahan pula, orkid turut merupakan simbol gaya hidup yang kukuh. Hal ini dihasilkan dari dua aspek. Aspek pertama, adalah kecergasan bunga orkid amat kuat, yang mana dicerminkan oleh kepelbagaian habitat orkid. Walaupun kebanyakan orkid berasal dari daerah tropika, orkid boleh ditemui di seluruh dunia, mahupun subtropika, kecuali di benua Antartika. "Anggrik boleh tumbuh di dataran rendah, gurun yang kering, hutam rimba yang panas, hinggalah di dataran tinggi, termasuk puncak gunung bersalji (Ayub S. Pamata, 2010, hlm5)." Di habitat asalnya, pelbagai jenis orkid liar boleh hidup beradaptasi selama jutaan tahun, sehingga mampu hidup di pelbagai tempat yang berbeza. Manusia menghargai kuasa hidup yang amat kuat orkid ini, lalu mengertikannya simbol daya hidup yang melekat teguh dan mengharapkan boleh memperolehi daya hidup sebegitu dengan pertumbuhan orkid itu. Aspek yang kedua ialah kuasa pertumbuhan orkid sendiri dalam proses seumur hidupnya. Terdapat satu cerita dalam buku Hiasan Orkid Malaysia. Kisah itu dinamakan Cattleya Mati Hidup Semula.

Daunnya berbintik-bintik hitam dan berkarat. Bahagian hujung daun menjadi kering. Jadi saya potongkan dan cacatlah rupa pokok ini. Selama setahun saya tidak lupa menyembur baja dan pesticide. Akhirnya pokok ini dapat juga diselamatkan. Alhamdulillah, usaha saya berbaloi kerana orkid ini telah menghadiahkan bunga yang begitu cantik dan uni kepada saya (Nuritin Ashikin Hj Kassim, 2010, hlm.57).

Kisah ini membuktikan bahawa walaupun bunga orkid bersifat sensitif kepada persekitaran hidupnya, orkid masih memiliki kuasa hidup yang tenacious. Justeru, bunga orkid dijadikan lambang daya hidup yang optimis. Lambang ini menjadi satu sebab utama budaya orkid boleh disebarkan dalam masyarakat Melayu kerana bangsa Melayu merupakan bangsa yang berani, tegak berkuasa, dan mengharapkan kedamaian serta kemuliaan. Dengan itu mereka sukakan sejenis bunga yang membawa erti yang sama dengan sifat kebangsaan mereka. Jadi, tidak hairanlah budaya orkid boleh berkembang di Malaysia dan menjadi satu lambang yang membawa nilai-nilai estetika yangmana hanya orang Melayu sendiri yang mampu memahaminya.


1 2
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China