Cari:
Yunnan, China Menjadi Destinasi Pelaburan Penting bagi Syarikat Thailand
2010-10-08 14:33:33 CRI Cetak

Kaunselor Perdagangan daripada Konsulat Thailand di Kunming, Puan Suwimol Tilokruangchai.

Provinsi Yunan di bahagian barat daya China telah menjalinkan kerjasama perdagangan yang rapat dengan Thailand sejak sekian lama. Jumlah perdagangan antara provinsi Yunnan dengan Thailand terus berkembang pesat selepas ditubuhkannya Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) pada tahun ini. Sementara itu, Yunnan menjadi destinasi pelaburan yang penting bagi syarikat Thailand kerana ia mempunyai kelebihan geografi yang istimewa dan iklim pelaburan yang baik.

Sehingga akhir tahun 2009, projek yang dilaburkan oleh syarikat Thailand di Yunnan melebihi 100 buah dan meliputi pelbagai bidang seperti sektor perhotelan, projek janakuasa hidroelektrik dan pembuatan makanan.

Ketika diwawancara oleh wartawan CRI, Kaunselor Perdagangan daripada Konsulat Thailand di Kunming, Puan Suwimol Tilokruangchai berkata, menurut pandangan peniaga Thailand, Yunnan mempunyai potensi perdagangan yang amat besar dan peluang perniagan yang banyak. Kata beliau: "Pelaburan yang dibuat oleh syarikat Thailand di Yunnan meliputi pelbagai bidang. Sebuah bangunan yang mempunyai kompleks beli-belah dan hotel berbintang dirancang akan dibina di Kunming. Projek itu melibatkan pelaburan sebanyak 10 bilion Batt, iaitu 330 juta dolar Amerika. Selain itu, kami juga akan bekerjasama dengan Yunan untuk mendirikan satu kampung peranginan di kawasan sekitar Tasik Dianchi. Kampung peranginan itu menumpu kepada pelanggan warga emas dan dikendalikan dengan sistem perkhidmatan Thailand yang berprestij. Tempat peranginan itu akan mendapat sambutan yang baik di Kunming kerana bandar ini mempunyai iklim yang nyaman sepanjang tahun."

Kumpulan Phyathai ialah sebuah syarikat perubatan yang terkemuka di Thailand. Syarikat itu merancang untuk membina sebuah Hospital Persahabatan China-Thailan di Yunnan yang mempunyai 300 buah katil. Penubuhan hospital itu dijangka menelan 300 juta Yuan RMB.

"Kota Perdagangan Antarabangsa Luoshiwan" merupakan sebuah pusat beli-belah terkenal yang menjual barangan luar negeri di Kunming. "Kota Barangan Thailand" merupakan ruang perniagaan syarikat asing yang pertama ditubuhkan di pusat tersebut di mana lebih seribu jenis barangan Thailand dijual. Puan Lu Li mula berniaga di Chiang Mai, Thailand dengan menjual barangan buatan China pada tahun 1998. Kemudian, beliau menguruskan jualan barangan Thailand melalui internet. Kini, Puan Lu berjaya memajukan perniagaannya dengan membuka sebuah kedai di "Kota Barangan Thailand" tersebut. Kata beliau: "Jumlah jualan meningkat dengan ketara dengan pembukaan kedai ini. Suasana perniagaan di sini sungguh baik kerana ramai pelanggan datang untuk membeli-belah. Oleh itu, saya mencadangkan peniaga dari Thailand juga datang berniaga di China. Kami bersedia memberikan bantuan kepada peniaga Thailand untuk mengatasi kesukaran dalam perniagaan. Saya juga merancang untuk menubuhkan sebuah pusat perkhdimatan yang memberikan pelbagai jenis perkhidmatan kepada peniaga Thailand seperti permohonan visa, pelancongan dan pengangkutan barangan."

Seramai 100 ribu orang Cina dan perantau China di Thailand adalah berasal dari Provinsi Yunnan China. Dewan Perniagaan Yunnan Thailand telah ditubuhkan di Bangkok pada awal tahun 2009. Yang Yuanhui yang telah bermastautin di Thailand selama 20 tahun dipilih menjadi presiden pertamanya. Kini, Dewan Perniagaan Yunnan Thailand merancang untuk menubuhkan sebuat pusat pemprosesan dan perniagaan buah-buahan di Zon Ekonomi Lapangan Terbang Kunming. Pembinaan pusat itu akan melibatkan pelaburan sebanyak 80 juta dolar Amerika.

Encik Bill Chen ialah penasihat kanan bagi Pusat Interaksi Ekonomi dan Perdagangan Thailand-China dan Dewan Perniagaan Yunnan Thailand. Menurut beliau, Kawasan Perdagagan Bebas China-ASEAN(CAFTA) dan perjanjian kerjasama antara negara-negara di Subkawasan Sungai Mekong akan memudahkan lagi syarikat serantau untuk melabur di Yunnan. Kata beliau: "Kami memandang baik prospek pelaburan di Yunnan kerana banyak perubahan telah berlaku di sini. Perubahan ini diperlihatkan dari jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang meningkat dari semasa ke sama dan iklim pelaburan yang semakin baik. Menurut startegi pembangunan negara, Yunnan akan memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubungkan pasaran di negara Eropah dan Asia. Hal ini pastinya akan menyediakan peluang pembangunan yang amat baik kepada Yunnan. Selain itu, pengangkutan barangan akan lebih mudah dilakukan dengan penubuhan lapangan terbang baru di Kunming. Perkembangan logistik juga akan merancakkan pertukaran tenaga manusia dan maklumat. Oleh itu, kami amat optimis terhadap prospek pembangunan Yunnan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China