Polis Indonesia menahan seorang wanita yang dipercayai merekrut seorang pengebom bunuh diri untuk melancarkan serangan terhadap Istana Presiden negara itu.
Menurut jurucakap polis kebangsaan Indonesia, Martinus Sitompul, wanita yang tidak didedahkan namanya itu ditahan bersama-sama suaminya di bandar Tasikmalaya, Jawa Barat semalam.
Wanita itu disyaki merekrut pengebom bunuh diri. Walau bagaimanapun, pihak polis masih kurang pasti mengenai peranan suaminya dalam rancangan serangan itu.
Minggu lalu, polis Indonesia telah menahan empat orang yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh.
Mereka ditangkap atas cubaan merancang satu lagi serangan pengeboman bunuh diri ketika majlis pertukaran pengawal di Istana Presiden pada 11 Disember lalu.
Sumber: Utusan Online








