Ketua Pengarang Bernama, Yong Soo Heong menyampaikan ucapan dalam Forum Kerjasama Pihak Media ASEAN+3.
Forum Kerjasama Pihak Media ASEAN+3 Pertama telah diadakan di Tianjin, bandar utara China baru-baru ini. Forum itu dihadiri oleh seramai lebih 100 orang peserta dari negara-negara ASEAN, Jepun, Republik Korea dan China. Secara umumnya para peserta berpendapat bahawa kerjasama ASEAN+3 telah mendorong kestabilan dan pembangunan di rantau Asia Timur dan turut meningkatkan prestasi serantau di arena antarabangsa. Kerjasama antara pelbagai negara ASEAN dengan China, Jepun dan Republik Korea telah menjadi semakin penting dan amat perlu dilakukan berikutan dengan perkembangan kerjasama antara pelbagai pihak ke arah yang lebih mendalam dan meluas.
Forum Kerjasama Pihak Media ASEAN+3 kali ini diadakan atas cadangan oleh Perdana Menteri China Wen Jiabao dalam Sidang Kemuncak ASEAN+3 yang diadakan di Cebu, Filipina pada bulan Januari tahun ini. Antara para hadirin dalam forum itu termasuk petugas daripada 38 akhbar dan agensi berita yang berpengaruh dari 10 negara anggota ASEAN, Jepun, Republik Korea dan China serta pegawai dari Kementerian Luar China, Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing dan Sekretariat ASEAN.
Dalam forum yang bertemakan "Memperkukuhkan Kerjasama Media, Menyampaikan Suara Asia" itu, para peserta telah mengadakan perbincangan secara mendalam tentang tiga topik utama iaitu peranan pihak media dalam mendorong kerjasama ASEAN+3, cara menjadikan suara Asia lebih berkesan di arena antarabangsa dan Sukan Olimpik Beijing 2008.
Tahun ini ialah ulang tahun ke-10 penjalinan kerjasama ASEAN+3. Dengan usaha gigih pelbagai pihak dalam tempoh 10 tahun lalu, kerjasama antara ASEAN dengan China, Jepun dan Republik Korea telah memperlihatkan kedinamikan yang amat tinggi dan berkembang ke arah yang lebih cemerlang dan pragmatik dengan mekanisme-mekanisme juga semakin sempurna. Para peserta dalam forum kali ini dengan sebulat suara berpendapat bahawa kerjasama dalam bidang kewartawanan dan media massa telah menjadi salah satu komponen penting dalam rangka kerjasama ASEAN+3. Dalam konteks ini, sama ada Kawasan Perdagangan Bebas Asia Timur dapat ditubuhkan seperti yang dijadualkan ataupun tidak bergantung penuh kepada kerjasama antara pihak media pelbagai negara dalam mendorong pertukaran maklumat. Sehubungan dengan itu, para peserta telah mengemukakan cadangan masing-masing tentang peningkatkan kerjasama tersebut.
1 2
|