Sidang Menteri Penerangan China-ASEAN yang bertujuan untuk mendorong interaksi dan kerjasama dalam bidang penerangan telah diadakan di Wilayah Autonomi Etnik Zhuang, Guangxi China pada 13 hingga 16 Oktober ini. Menteri atau wakil penerangan dari negara Malaysia, Kemboja, Indonesia, Myanmar dan Singapura serta wakil dari Pusat Setiausaha China-ASEAN menghadiri sidang tersebut. Wartawan CRI telah mengadakan temu bual dengan Menteri Penerangan Malaysia, Dato' Ahmad Shabery Cheek yang menghadiri Sidang Menteri Penerangan China-ASEAN tersebut.
Wartawan CRI: Minta pandangan Dato' tentang makna peningkatan kerjasama media antara ASEAN dengan China? Apakah expectation Dato' terhadap mesyuarat kali ini?
Y. B.: Peningkatan kerjasama bagi saya ialah untuk semua rakyat ASEAN dan juga rakyat negara China dapat melihat apa yang kami ada di negara-negara ASEAN dan dapat dilihat oleh rakyat China melalui media, apa yang ada di China dilihat oleh kami. Dilihat, didengar dan dibaca itulah peranan media. Selama ini, kita terlalu bergantung kepada Barat bagi pihak Malaysia dan juga rakan-rakan di negara ASEAN dari segi penguasaan media, banyak bergantung kepada bahan-bahan yang dikeluarkan oleh negara-negara barat yang terlalu mempengaruhi kehidupan kita. Tetapi saya rasakan bahawa di zaman yang lebih moden sekarang ini, kekuatan negara kita telah melahirkan kandungan-kandungan kreatif kita sendiri yang sepatutnya kita kongsi bersama. Tapi, bagi saya yang paling penting sekali ialah bagaimana kita berhadapan dengan masalah dunia yang berlaku sekarang secara bersama. Kita tahu di barat menghadapi masalah ekonomi yang cukup tenat sekarang ini. Kata orang mereka telah diserang penyakit jantung yang memerlukan rawatan kejutan, mereka tersendiri. Tetapi, kita bersyukur, pada hari ini kesannya walaupun kita rasakan, tetapi kita masih ada kemampuan untuk hidup dan kita dapat meneruskan kehidupan kita walaupun masalah di sana. Bagi saya, daripada Malaysia, saya katakan antara kekuatan kita dalam menghadapi masalah ini, kerana adanya negara besar seperti China yang menjadi enjin, jentera bagi menggerakkan ekonomi di rantau ini. China, walaupun dalam masalah ekonomi dunia, masih lagi mampu untuk menjana pertumbuhan ekonomi hampir 10% ataupun sekitar 10% setahun, satu angka yang besar, walaupun agak kurang kalau berbanding tahun yang lalu, tapi cukup besar. Ini juga bermakna kalau China maju, kami dapat menumpang kemajuan China kerana China akan terus mengambil barang-barang kami. Dan barang-barang daripada China, yang kita kehendaki kita ambil.
Bagi saya, bila dalam keadaan ini, kita mesti lebih rapat, lebih duduk bersama,saya gunakan istilah, kalau kita telah menghadapi kapal yang karam, dan kita dapat keluar daripada kapal tersebut, duduk di atas rakit keselamatan. Ini yang selamat. Negara-negara ASEAN, negara China, kita mesti lebih rapat lagi. Kita tidak boleh fikir perkara-perkara yang sensitif antara kita, perkara-perkara yang berkaitan mempersoalkan isu kaum, budaya dan perkara-perkara yang boleh menjadikan kita berbalah antara satu sama lain. Jadi, untuk meningkatkan perpaduan ini, tidak ada lain, tidak bukan ialah peranan yang dimainkan oleh media. Kalau media banyak menganjurkan pertukaran maklumat dan kebudayaan. Kita menghargai kesenian yang ada dalam kalangan kita. Dan saya rasa kita akan terus menjadi satu kelompok yang lebih kukuh lagi pada masa akan depan.
Wartawan CRI: Minta pandangan Dato' tentang kesan atau faedah yang akan dilihat kerana penandatanganan MoU Kerjasama China-ASEAN dalam bidang ICT dan media?
Y. B.: Kesannya, lepas ini akan dapat kita lihat aliran keluar masuk bahan-bahan kita dengan lebih mudah lagi. Itu yang paling penting sekali. Kerjasama ini diperkukuhkan kerana dalam masa beberapa hari di sini, di Guangxi, kita lihat hubungan yang rapat di kalangan menteri-menteri dan juga dengan pihak China dan sebagainya. Yang paling penting, hubungan yang rapat ini dapat membina keyakinan. Masalah dulu ialah keyakinan kita tidak ada. Sekarang keyakinan sudah ada, cuma pelaksanaan saja. Yang mesti dilaksanakan secepat mungkin.
Wartawan CRI: Bolehkah Dato' memperkenalkan projek-projek kerjasama yang sudah dilaksanakan antara Malaysia dengan China dalam bidang industri maklumat dan media?
Y. B.: Antara Bernama iaitu Agensi Berita Nasional Malaysia sudah pun ada hubungan dengan Xinhua News Agency. Kami sudah ada biro kami di Beijing. Itu satu penanda bahawa kita mahu banyak makluamt dari China untuk disebarkan di Malaysia. Yang keduanya, dulu pun ada kerjasama antara CCTV dengan RTM. Kita boleh mengambil apa-apa saja kandungan daripada CCTV untuk disiarkan pada bila-bila masa. Jadi, ini juga satu perkara yang baik. Di Malaysia sendiri, CCTV melalui saluran ASTRO. Orang dapat menonton apa sahaja yang disiarkan melalui CCTV. Saya sudah melihat bahawa ia sudah banyak diperbaiki yang berbanding dengan CCTV yang saya lihat tiga tahun dulu. Sekarang ini sudah benar-benar bersifat antarabangsa, pemaparannya lebih baik. Saya percaya, program CCTV sudah setandingan dengan CNN, dengan Al Jazeera. Ia akan menjadi semakin baik dan ia akan mengambil masa. Ia telah membina keyakinan bahawa CCTV pada suatu masa nanti akan menjadi pilihan kepada orang ramai, bukan saja untuk memaparkan apa yang berkenaan dengan negeri China. Dulu CCTV untuk orang tengok apa yang berada di negeri China, tetapi analisa ataupun pandang-pandangan CCTV mengenai dunia, yang menjadi pandangan-pandangan alternatif kepada apa yang disediakan oleh CNN, BBC dan sebagainya. Jadi, ini adalah satu perkembangan yang positif dan kami menyambut baik. Kalau melalui kerjasama, saya rasakan di peringkat negeri China juga, sudah tentulah akan dapat mengambil pandangan-pandangan kami untuk dimuatkan dalam media negeri China mengenai perkara-perkara dunia, bukan sahaja negara kami, negeri China, tetapi pandangan kami mengenai dunia.
1 2
|