Parti komunis China yang mempunyai ahli parti seramai lebih 70 juta orang akan mengadakan Kongres Kebangsaan Ke-17 dalam sedikit masa lagi. Kini, pemilihan wakil Parti Komunis China yang akan menyertai kongres kebangsaan kali ini telah selesai diadakan. Dalam proses pemilihan yang memakan masa selama 8 bulan itu, seramai lebih 2200 orang ahli parti komunis China yang berkemampuan dan bijaksana dalam bidang politik dan berkemampuan untuk mewakili hasrat seluruh anggotanya telah dipilih sebagai wakil Kongres Kebangsaan Ke-17 Parti Komunis China.
Parti Komunis China merupakan parti pemerintah bagi negara China yang mempunyai penduduk seramai 1.3 bilion orang. Wakil bagi Kongres Kebangsaan Parti Komunis China seharusnya terdiri daripada ahli parti yang unggul dan berkemampuan untuk mewakili seluruh anggotanya. Chen Xueli yang berumur 56 tahun ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Weigao dari provinsi Shandong China, iaitu satu perusahaan swasta yang jumlah asetnya mencatat kira-kira 3 bilion dolar Amerika. Baru-baru ini, Chen Xueli yang menganggotai Parti Komunis China pada puluhan tahun lalu telah dipilih sebagai wakil Kongres Kebangsaan Ke-17 Parti Komunis China. Beliau berkata: "Ahli parti daripada 'dua pertubuhan baru' telah dipilih menjadi wakil Kongres Kebangsaan Ke-17 Parti Komunis China. Perkara ini telah memperlihatkan perhatian sepenuhnya yang diberikan oleh Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China terhadap sektor ekonomi yang baru."
"Dua pertubuhan baru" yang dikatakan oleh Chen Xueli itu bermaksud "pertubuhan ekonomi baru" yang merangkumi perusahaan swasta dan "pertubuhan sosial baru" yang merangkumi dewan perniagaan kalangan rakyat dan institusi yang bukan bertujuan memperoleh keuntungan. Kemenangan Chen Xueli dalam pemilihan wakil Kongres Kebangsaan Ke-17 Parti Komunis China telah menimbulkan reaksi secara meluas di perusahaannya. Ahli Parti Komunis China di perusahaan tersebut, Puan Zhao Suxia menyatakan: "Saya berpendapat bahawa wakil Kongres Kebangsaan Pari Komunis China seharusnya ahli parti yang unggul dan dapat mewakili semua golongan dalam bidang sosioekonomi. Pertambahan jumlah wakil dari 'dua pertubuhan baru' merupakan galakan dan sokongan kepada ahli parti yang berasal daripada golongan-golongan tersebut."
1 2
|