Baru-baru ini, Pagoda Dayan yang rosak dalam gempa bumi Sichuan telah dibaik pulihkan dan dibuka semula kepada para pelancong. Pagoda Dayan merupakan destinasi pelancongan yang sangat terkenal di Provinsi Sha'anxi. Kerajaan Provinsi Sha'anxi telah menyusun rancangan untuk memulihkan semua benda bersejarah yang rosak dalam gempa bumi tersebut dalam tempoh tiga tahun.
Gempa bumi yang dahsyat telah berlaku di Sichuan pada 12 Mei lalu. Sebagai provinsi jiran, Provinsi Sha'anxi juga mengalami akibat yang teruk. Pagoda Dayan di ibu kota Xi'an telah rosak akibat bencana gempa itu. Ketua Jabatan Kawalan Pagoda Dayan, Xie Shoutao berkata:
"Pada masa itu, Pagoda Dayan mengalami gempa selama 221 saat. Ini mengakibatkan kesengetannya bertambah 0.512 milimeter. Namun, ini tidak menjejaskan rangka asas pagoda tersebut, kerosakan hanya berlaku pada lapisan serbuk di luar bangunannya sahaja. Kini, pada lapisan serbuk Pagoda Dayan kelihatan beberapa retak dan sebahagian lapisan serbuk telah jatuh. Lapisan luar ini seperti pakaian bagi pagoda. Pakaian telah rosak, tetapi orang yang memakai pakaian tersebut tidak cedera."
Pagoda Dayan dibina pada abad ke-7 oleh maharaja Dinasti Tang China untuk menyimpan kitab agama Buddha yang dibawa balik oleh Pendeta Xuan Zang dari India. Ia dibina dengan bata dan tingginya mencecah 64 meter. Pada tahun 1961, ia disenaraikan sebagai artifak kebangsaan kumpulan pertama oleh kerajaan China.
Selepas gempa bumi Sichuan berlaku, pihak yang berkuasa di Provinsi Sha'anxi segera melarang pelancong mendaki pagoda Dayan dan melakukan pemeriksaan yang menyeluruh terhadap pagoda tersebut, termasuk menilai keselamatan, mencuba fungsi antigempa, memeriksa kesengetan dan keterbenaman pagoda. Berdasarkan keputusan pemeriksaan tersebut, rangka pagoda didapati tidak mengalami kerosakan, hanya sebahagian dindingnya retak dan sebahagian lapisan luarnya gugur. Kerajaan bandar Xi'an segera memperuntukkan lebih 600 ribu yuan RMB untuk membaik pulih Pagoda Dayan. Projek tersebut dilaksanakan selama 3 bulan.
Pada awal bulan Ogos yang lalu, Pagoda Dayan telah dibuka semula. Puan Zhanghui yang sedang mendaki pagoda tersebut berkata:
"Saya dari Chongqing dan datang ke sini untuk melancong. Dulu saya dengar Pagoda Dayan mengalami kerosakan dalam bencana gempa. Tapi sekarang ternyata tak ada masalah lagi, semuanya sangat baik."
Ketua Jabatan Kawalan Pagoda Dayan, Xie Shoutao, mamaklumkan bahawa peralatan peninjau gempa bumi telah dipasang di sekitar pagoda tersebut untuk menjamin keselamatan pagoda dan para pelancong.
1 2
|