Zhang Zhengxiang, petani yang tinggal di Provinsi Yunnan di bahagian barat daya China telah menjaga Tasik Dianchi selama lebih 20 tahun. Beliau telah menjadi pakar perlindungan alam sekitar dan mempengaruhi penduduk sekampungnya menyertai kegiatan perlindungan alam sekitar.
Zhang Zhengxiang berasal dari Kampung Fushan di luar bandar Kunming, ibukota Provinsi Yunnan yang terletak di Dataran Tinggi Yunnan-Guizhou di bahagian barat daya China. Kampung Fushan berhampiran dengan Tasik Dianchi yang dianggap sebagai tasik air tawar yang keenam terbesar di China. Perairan Tasik Dianchi seluas lebih 300 kilometer persegi dan digelar sebagai "sebutir mutiara di dataran".
Tasik Dianchi bukan sahaja terkenal sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga merupakan pangkalan pertanian dan perikanan yang penting bagi petani tempatan.
Sejak akhir tahun 1970-an, Tasik Dianchi mula mengalami pencemaran. Pada tahun 1990-an, ekologi alam sekitar Tasik Dianchi terjejas dengan serius akibat pencemaran yang buruk sehingga ikan hampir terpupus.
Zhang Zhengxiang berasa sakit hati sewaktu menyaksikan air Tasik Dianchi berubah dari jernih menjadi kotor. Pada tahun 1980, Zhang Zhengxiang yang berumur 31 tahun memulakan tindakannya untuk melindungi Tasik Dianchi.
Beliau berkata: "Saya bukan sahaja menjaga perairan Tasik Dianchi, tetapi juga melindungi punca dan kawasan alirannya, Gunung Barat yang berhampiran dengan Tasik Dianchi dan sungai-sungai bawah tanah Tasik Dianchi. Tasik Dianchi sebenarnya dibentuk dari jaringan sungai bawah tanah yang luas."
1 2 3 4
|