Cari:
Wawancara dengan Encik Jin Guihua, Mantan Duta Besar China ke Malaysia
2009-06-09 14:42:52 CRI Cetak
Encik Jin Guihua ialah mantan Jurucakap Kementerian Luar China, Duta Besar China ke Brunei Darussalam dan Thailand, dan juga pernah menjawat jawatan Duta Besar China ke Malaysia pada bulan Ogos tahun 1991 hingga bulan November tahun 1993.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-35 terjalinnya hubungan diplomatik antara China dan Malaysia. Hubungan China sudah menjadi sangat hangat pada masa ini. Namun, menurut Encik Jin Guihua, dipengaruhi oleh beberapa unsur tinggalan sejarah, perkembangan hubungan China-Malaysia selepas terjalinnya hubungan diplomatik juga mengalami proses perubahan dari "beku" kepada "cair" dan kini menjadi "hangat". Jangka masa Encik Jin Guihua menjadi Duta Besar China ke Malaysia merupakan tempoh permulaan hubungan kedua-dua negara berubah menjadi hangat.

Setibanya di Malaysia, Encik Jin Guihua telah mengunjungi pegawai-pegawai kanan Malaysia sebagaimana lazimnya. Beliau mengenang bahawa "Ketika saya mengunjungi Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia semasa itu, beliau secara terus terang memaklumkan bahawa hubungan Malaysia-China agak baik. Semua halangan antara kedua-dua negara dulu telah tiada. Malaysia dan China bukan sahaja akan terus mengembangkan hubungan antara kerajaan, namun akan mendorong pertukaran antara rakyat kedua-dua negara pada masa depan. "

Ini merupakan kemajuan yang luar biasa pada masa itu, kerana warga Malaysia dilarang sama sekali melawat China pada masa itu.

Lawatan Peringkat Tinggi Yang Makin Kerap

Lawatan antara pegawai kanan dari kedua-dua negara ini semakin kerap berlaku. Ini merupakan tanda bertambah eratnya hubungan antara China dengan Malaysia. Encik Jin Guihua memaklumkan bahawa dalam tempoh beliau menjadi Duta Besar China ke Malaysia, pemimpin kanan kedua-dua negara ini telah melakukan beberapa lawatan yang sangat bermakna bagi hubungan antara kedua-dua negara ini. Antaranya, tahun 1991 merupakan titik penting dalam sejarah hubungan China-Malaysia. Pada tahun itu, Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Azlan Muhibbudin Shah telah melakukan kunjungan ke China. Encik Jin Guihua mengganggap kunjungan tersebut merupakan peristiwa yang patut dicatat dalam buku sejarah. Kerana perisitiwa tersebut telah memulihkan kegiatan pertukaran pemimpin tertinggi kedua-dua negara yang sudah terputus selama kira-kira 500 tahun. Pada tahun 1992, Presiden China semasa itu Yang Shangkun pula membuat lawatan rasmi ke Malaysia.

Pada bulan April tahun 1992, Naib Ketua Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Jiang Guanghua telah melawat Bangladesh. Sebelum berlepas dari Beijing, beliau bertanya kepada Kedutaan Besar Malaysia sama ada beliau boleh membuat lawatan singkat ke Malaysia dan bertemu dengan beberapa orang pemimpin UMNO. Pihak Malaysia bersetuju dan segera mengatur agenda lawatan beliau di sana. Dalam rangka lawatan beliau di Malaysia itu, Encik Jin Guihua sempat menyertai pertemuan yang diatur oleh Encik Jiang Guanghua dengan empat orang pegawai kanan UMNO, antaranya termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau menyatakan kepada Encik Jiang Guanghua bahawa hubungan Malaysia-China sangat baik dan pasti akan menjadi lebih erat pada masa depan. Kedua-dua negara bukan sahaja perlu meningkatkan hubungan antara kerajaan, malah, hubungan antara parti pemerintah di kedua-dua buah negara juga perlu dieratkan. Permulaan hubungan antara Parti Komunis China dengan UMNO menjadi satu lagi tanda penting dalam perkembangan hubungan China-Malaysia.

Pada bulan Mei tahun 1993, Menteri Pertahanan China semasa itu, Chi Haotian telah melawat Malaysia. Selain mengadakan kunjungan ke beberapa jabatan, beliau juga menyampaikan ucapan di Kementerian Pertahanan Malaysia. Encik Jin Guihua mengenang kembali: "Ketika Chi Haotian bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia pada masa itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan bahawa itulah kali pertama beliau bertemu seorang tentera yang memakai pakaian seragam PLA di Malaysia. Ini menandakan perubahan hubungan antara Malaysia dengan China." Tun Dr. Mahathir Mohamad pula menyatakan hasratnya untuk melawat China sekali lagi dan melihat perubahan di China dengan matanya sendiri. Beliau menyatakan bahawa Malaysia menghargai pembangunan di China, kerana kemakmuran China bermanfaat bagi pembangunan ekonomi Malaysia.

Pada bulan Jun tahun 1993, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membuat lawatan rasmi ke China buat kali kedua. Encik Jin Guihua memberitahu: "Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan bahawa beliau sudah bersedia untuk melawat China sekali lagi. Beliau menyatakan bahawa beliau mempunyai satu kelaziman berkait dengan lawatan ke luar negara, iaitu hanya melawat sekali sahaja ke sesebuah negara itu secara rasmi. Namun, untuk negeri China, beliau bersedia membuat pengecualian."

Tun Dr. Mahathir Mohamad juga membawa delegasi kerajaan seramai 288 orang. Delegasi ini dikatakan merupakan delegasi kerajaan Malaysia yang paling besar untuk lawatan ke luar negara. Dalam lawatan rasmi Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 10 hari itu, kedua-dua pihak telah menandatangani lebih daripada 30 buah perjanjian. Lawatan beliau itu dianggap telah mencapai kejayaan yang cukup cemerlang.


1 2
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China