Cari:
PM Li Lakar Kerjasama China-ASEAN
2013-10-10 13:57:31 CRI Cetak

Perdana Menteri China, Li Keqiang yang menghadiri Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-16 di Bandar Seri Begawan, Brunei petang semalam, telah mengemukakan rangka "2+7" bagi kerjasama China-ASEAN pada masa depan. Beliau turut menyifatkan prinsip bersahabat dengan negara-negara jiran sebagai asas bagi kerjasama antara kedua-dua pihak.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 terjalinnya perkongsian strategik China-ASEAN. Sebelum sidang kemuncak kali ini, Li dan pemimpin sepuluh negara anggota ASEAN telah menghadiri upacara memotong kek bagi merayakan "dekad emas" yang dilalui oleh China dan ASEAN. Li berkata, "Dalam dunia sekarang, persekitaran luar yang aman dan stabil lebih diperlukan. Pelbagai negara perlu bekerjasama dengan lebih erat untuk memperkasakan pembangunan masing-masing, serta berusaha bersama-sama seperti sebuah keluarga demi masa depan yang lebih cemerlang."

Li turut mengemukakan cadangan rangka kerjasama "2+7" yang bertujuan menggalakkan kerjasama China-ASEAN pada masa hadapan. Beliau menyatakan bahawa China dan ASEAN perlu melihat hubungan antara satu sama lain dari dari perspektif jangka panjang, di samping memperkukuh dua konsensus politik dan kerjasama dalam tujuh bidang bagi membolehkan kerjasama antara kedua-dua pihak berkembang ke tahap yang lebih tinggi. Kata beliau, "Dua konsensus politik perlu terus diperkukuh. Pertama, usaha meningkatkan kesalingpercayaan strategik dan persahabatan dengan negara-negara jiran merupakan asas bagi menggalakkan kerjasama. Dan Kedua, memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, meluaskan situasi menang-menang menjadi kunci bagi memperdalam kerjasama."

Pada beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat negara yang mahu mengeksploitasikan isu Laut China Selatan termasuk isu kebebasan pelayaran di perairan itu untuk menjejaskan hubungan China-ASEAN. Berhubung hal ini, Li berkata, "Pelayaran di Laut China Selatan adalah bebas dan selamat. Terdapat lebih 100 ribu buah kapal kargo dari pelbagai negara belayar melalui kawasan perairan ini setiap tahun. China bersedia bekerjasama dengan negara-negara berkenaan untuk memelihara kebebasan dan keselamatan pelayaran di Laut China Selatan."

Pemimpin negara-negara ASEAN memuji sumbangan China dalam usaha menggalakkan kemakmuran dan kestabilan serantau. Dalam pada itu, Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah berkata, "Beta amat gembira melihat China dan ASEAN berusaha bersama-sama untuk menaiktarafkan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA). Langkah tersebut akan mengeratkan hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua pihak. Beta juga gembira melihat kedua-dua pihak telah memulakan rundingan mengenai Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC). Ini memperlihatkan komitmen kedua-dua pihak untuk memelihara kedamaian, kestabilan dan kemakmuran serantau."

Lihat juga
berita lain
v Lawatan PM Li Untuk Lakar Kerjasama China-ASEAN 2013-10-08 14:44:16
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China