
Gunung Tai tingginya lebih 1500 meter dari paras laut. Walaupun gunung itu bukan gunung yang paling tinggi antara kelima-lima buah gunung tersebut, tetapi disebabkan Gunung Tai terletak di kawasan dataran, jadi gunung itu kelihatan sangat tinggi. Gunung ini panjangnya lebih 200 kilometer dan luasnya mencatat lebih 400 kilometer persegi. Gunungnya besar dan batu di gunung ini keras. Itulah sebabnya simpulan bahasa yang terkenal dalam bahasa Mandarin, iaitu "sestabil Gunung Tai" dan "seberat Gunung Tai" digunakan terus sampai sekarang.
Pemandangan di Gunung Tai sangat indah. Gunung yang megah, batu besar yang beraneka bentuk, pohon cemara yang bersejarah lama, lebih-lebih lagi pemandangan ketika matahari terbit pada waktu pagi di puncak gunung ini telah menarik ramai pelancong ke sini.
Gunung Tai merupakan lambang kuasa diraja dalam sejarah China. Ini juga merupakan keunikan gunung ini. Menurut catatan sejarah, semenjak 3 ribu tahun yang lalu, maharaja China telah mula memuja dewa langit dan bumi di Gunung Tai kerana mereka hendak menjelaskan bahawa kuasa mereka adalah diberikan oleh dewa langit dan bumi. Lama kelamaan, Gunung Tai menjadi lambang kestabilan masyarakat, kekukuhan kuasa, kemakmuran negara dan perpaduan bangsa China.








