Cari:
Dujiangyan, Destinasi Pelancongan yang Manarik
2011-06-28 17:09:35 CRI Cetak

Hampir semua orang China tahu Sichuan ialah 天府之国 (Tian Fu Zhi Guo) yang bermaksud tempat yang subur dan banyak menghasilkan bahan makanan yang terkenal di China dalam bahasa mandarin. Tetapi mungkin jarang orang yang mengetahui bahawa sebelum projek Dujiangyan dibina, "Tian Fu Zhi Guo" di China bukanlah Sichuan tetapi kawasan Dataran Guanzhong di Shaanxi yang tanahnya subur dan iklimnya baik. Pada waktu itu, Dataran Chengdu dan Lembangan Sichuan banyak menderita air bah hebat yang dibawa oleh Sungai Min.

Berdasarkan penyelidikan yang rapi dan perhitungan yang saintifik, Li Bing mengambil keputusan untuk membina projek tali air ukuran besar di Kaunti Guan Sichuan iaitu Dujiangyan pada masa ini. Beliau berpendapat tujuan pertama pembinaan projek tali air ini ialah mengatasi bencana air, dan tujuan kedua ialah mendatangkan faedah kepada sektor pertanian dan kaun tani di kawasan aliran tengah dan hilir Sungai Min di Dataran Chengdu dan Lembangan Sichuan.

Projek Dujiangyan terdiri daripada tiga bahagian iaitu Yuzui, Feishayan dan Baopingkou. Yuzui, bermaksud mulut ikan dalam bahasa Mandarin, merupakan tambak berbentuk ikan yang dibina di tengah Sungai Min untuk memisahkan aliran air sebagai sungai dalam dan sungai luar. Sungai dalam digunakan untuk mengairi sawah ladang, manakala sungai luar untuk menyalirkan air bah. Baopingkou, bermakna mulut pasu dalam bahasa Mandarin, merupakan pintu masuk air sungai dalam. Ia dapat mengawal jumlah air yang mengalir masuk. Feishayan, sebuash tambak panjang dan rendah, merupakan saluran sepanjang 200 meter yang dibina di antara Yuzui dan Baopingkou. Fungsinya ialah untuk memastikan aliran air yang terlalu deras yang telah memasuki sungai dalam dapat disalurkan ke sungai luar menerusi saluran ini bagi menjamin keselamatan sungai dalam dan Baopingkou, pintu masuk air sungai dalam. Selain itu, Feishayan juga berfungsi mengurangkan pasir dan batu yang mendap di hadapan Baopingkou.

Projek tali air ukuran besar pada zaman kini biasanya terdiri daripada bendung konkrit tinggi untuk membendung air sungai dan takungan air besar yang terbentuk oleh air sungai yang terbendung. Tetapi di projek Dujiangyan tidak terdapat bendung yang tinggi dan takungan air yang besar. Ia hanya terdiri daripada dua buah tambak yang kecil lagi rendah di tengah sungai iaitu Yuzui dan Feishayan. Kemudahan yang sederhana ini telah mencapai sama sekali tujuan daripada projek tali air ukuran besar yang moden pada masa ini, iaitu membendung air bah, mengubahsuaikan jumlah aliran air sungai pada musim tengkujuh dan kemarau, menghanyutkan dan mengurangkan batu dan pasir yang mengendap serta mengairi sawah ladang.

Li Bing memang seorang yang pandai. Projek Dujiangyan yang direka dan dibina oleh beliau menyelesaikan tugasnya hanya bersandar pada kekuatan alam saja dan tidak perlu dikawal oleh manusia. Bahan yang digunakan dalam pembinaan projek ini juga merupakan bahan yang senang didapat di sana. Sebagai contoh, beberapa sektor tambak dibina dengan menggunakan ketulan batu yang dimasukkan dalam keranjang panjang yang diperbuat daripada buluh. Bahan yang sederhana ini kosnya rendah dan mudah untuk dibaikpulih dan ditukar pada bila-bila masa. Ini juga sebab utama kenapa projek tali air kuno ini dapat beroperasi terus selama lebih 2000 tahun dan sampai sekarang masih digunakan.

Berdiri di tepi tali air Dujiangyan dan melihat air Sungai Min yang sudah mengalir turun-temurun, saya mengagumi betapa cemerlangnya budaya dan sains tradisional China. Projek Dujiangyan ini sungguh satu keajaiban dalam sejarah pembinaan projek tali air di China, malah di dunia. Selain itu, saya juga mengagumi kepandaian dan kecerdikkan nenek moyang saya Li Bing (nama keluarga saya juga Li, ha ha ha).

Dujiangyan telah mencipta satu contoh yang baik, iaitu projek tali air unik ini digabungkan secara sempurna dengan seni bina dan disepadukan secara harmonik dengan alam. Projek tali air terkenal ini mendapat pujian ahli geografi Jerman ternama Richthofen pada tahun 1872: "Kesempurnaan pengairan Dujiangyan tiada tandingnya di seluruh dunia".

Pada tahun 2000, projek yang unggul itu bersama Gunung Qingcheng yang terletak di tempat berhampirannya telah disenaraikan sebagai Warisan Dunia.

Pengunjung sangat mudah untuk berkunjung ke Dujiangyan. Dujiangyan sejauh 50 kilometer di sebelah barat laut Bandar Chengdu, ibu kota Provinsi Sichuan. Lebuh raya menyambungkan Dujiangyan dengan Bandar Chengdu. Selain itu, bas dan kereta api laju juga boleh menghantar pelancong ke Dujiangyan dari Bandar Chengdu. Selepas mengunjungi Dujiangyan, para pelancong juga boleh bersiar-siar ke Gunung Qingcheng, gunung yang pemandangannya indah permai yang juga merupakan tempat suci Ajaran Tao China yang hanya sejauh 10 kilometer daripada Dujiangyan.


1 2
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China