Struktur Pagoda Kayu Kaunti Ying tersebut telah menambah kekukuhan pagoda kayu itu. Dalam masa selama lebih 900 tahun semenjak pagoda kayu itu dibina, banyak kali gempa bumi telah berlaku di kawasan itu. Menurut catatan buku sejarah, pada masa kira-kira 300 tahun selepas pagoda kayu itu dibina, gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter telah berlaku di tempat itu, gempa bumi itu berlaku berturut-turut selama 7 hari, rumah dan bangunan di sekitar Pagoda Kayu Kaunti Ying semuanya runtuh dan hanya pagoda kayu itu masih berdiri tegak. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, banyak kali gempa bumi yang berlaku di kawasan Shanxi telah melibatkan kawasan Pagoda Kayu Kaunti Ying, walaupun seluruh pagoda kayu bergoncang dalam kejadian gempa bumi itu dan semua loceng yang digantung pada pinggiran atap telah berbunyi, namun demikian, pagoda kayu itu tidak rosak. Dalam perang saudara pada zaman dekat, pagoda kayu itu pernah terkena lebih 200 das bedilan peluru meriam, tetapi struktur pagoda kayu itu juga tidak terjejas. Kesemua ini membuktikan bahawa struktur dan cara pembinaan pagoda kayu tersebut amat kukuh sehingga ia terselamat daripada kerosakan gempa bumi dan peperangan.
Dalam sejarah China, banyak bangunan purba yang tinggi telah musnah disebabkan panahan petir. Arkitek dan tukang bina Pagoda Kayu Kaunti Ying dengan bijak telah menyelesaikan masalah itu. Lambang agama Buddha yang dibuat dengan besi yang dipasang di mercu pagoda kayu itu setinggi 14 meter, lambang besi itu disambungkan dengan sebatang dawai besi besar yang disalut dalam tiang kayu, hujung dawai besi itu ditanam dalam tanah. Selain itu, di luar pagoda kayu itu, digantung 8 batang rantai besi. Dengan peralatan tersebut, Pagoda Kayu Kaunti Ying dapat terselamat daripada panahan petir dalam masa yang panjang.
Sebagai pagoda kayu purba tinggi yang dipelihara dengan baik, strukturnya paling sempurna dan bentuknya paling megah di dunia, Pagoda Kayu Kaunti Ying telah mencerminkan sepenuhnya kebijaksanaan tukang bina zaman purba China serta kejayaan yang dicapai oleh mereka dalam bidang reka bentuk, struktur bangunan, cara pembinaan, keseimbangan mekanik, daya tahan terhadap kerosakan akibat gempa bumi dan petir.
Ketika saya melawat Pagoda Kayu Kaunti Ying buat kali pertama pada tahun 2000, saya dibenarkan naik ke tingkat atas pagoda itu, namun, dalam lawatan saya kali kedua, para pepancong hanya dibenarkan naik ke tingkat empat. Tindakan ini dilaksanakan untuk melindungi pagoda kayu tersebut. Walaupun pengunjung tidak dibenarkan naik ke tingkat lebih atas, mereka tetap dapat menyaksikan struktur bangunan itu yang saintifik, rapi dan mengagumkan.