Saya Li Jian, bertugas di Bahagian Bahasa Melayu Radio Antarabangsa China (CRI) sebagai penyunting kanan. Pengembaraan merupakan perkara yang paling menarik saya. Saya sudi berkongsi pengalaman pengembaraan dengan anda menerusi blog saya.
Provinsi Shanxi merupakan destinasi utama bagi saya dalam banyak kali perjalanan dengan memandu kereta kerana terdapat begitu banyak tapak peninggalan sejarah dan artifak yang bernilai tinggi di provinsi itu. Antara tapak peninggalan sejarah di sana, saya amat meminati bandar purba Pingyao dan telah tiga kali mengunjunginya masing-masing pada tahun 2000, 2009 dan 2010.
Bandar Pingyao mula dibina pada abad ke-9 sebelum masihi. Kota itu umumnya berbentuk 4 segi dan keluasannya hanya 2.25 kilometer persegi. Bangunan utama di bandar purba Pingyao yang dipelihara sehingga sekarang dibina pada 600 tahun yang lalu. Tembok kota, jalan, rumah kediaman, kedai dan kuil dipelihara dengan baik. Reka bentuk dan susunan bandar purba itu telah memperlihatkan kebudayaan tradisional China yang sudah diwarisi selama beberapa ribu tahun. Boleh dikatakan, bandar purba itu merupakan muzium sejarah yang menggambarkan seni bina pada Dinasti-dinasti Ming dan Qing China iaitu dari tahun 1368 hingga tahun 1911.
Tembok bandar purba Pingyao sepanjang lebih 6 ribu meter dan setinggi 12 meter dan terdapat 6 buah pintu keluar-masuk di 4 belah tembok bandar itu yang rupanya berbentuk kura-kura. Dalam kebudayaan tradisional China, kura-kura merupakan lambang panjang umur. Arketik dan pembina bandar purba Pingyao berharap bandar purba itu wujud dengan kukuh untuk selama-lamanya seperti kura-kura. Bagaimanapun harapan mereka telah direalisasikan, sampai sekarang bandar purba tersebut telah berusia 2800 tahun.
Jalan yang dibina menyusur garis tengah dari selatan ke utara merupakan jalan utama bandar purba Pingyao, jalan-jalan bujur dan lintang yang dibina teratur menyebabkan susunan bandar purba itu rapi dan menarik.