Sebagai destinasi terakhir dalam perjalanan kami pada Februari 2009 di Henan, Bandar Anyang telah meninggalkan kesan yang mendalam bagi saya yang sentiasa berminat kepada budaya tradisional China yang cemerlang.
Kerana kebudayaan dan tamadun China sudah bersejarah selama beberapa ribu tahun, maka barangan peninggalan sejarah dan warisan budaya di bawah tanah China sangat banyak. Semenjak ilmu kaji purba zaman moden diperkenalkan dari Barat ke China pada abad ke-20, banyak penemuan arkeologi penting telah berlaku di China.
Di Bandar Anyang, Provinsi Henan, di tengah China terdapat satu tempat peninggalan sejarah yang termasyhur, iaitu Yinxu yang bermakna runtuhan ibu kota Dinasti Yin. Yinxu luasnya kira-kira 24 kilometer persegi. Menurut catatan sejaran, setelah Raja Dinasti Shang, Pan Geng memindahkan ibu kota dinasti itu dari Qufu Shandong ke sini pada tahun 1300 sebelum Masihi, iaitu zaman perhambaan, Yinxu terus menjadi ibu kota Dinasti Shang selama 300 tahun. Yinxu merupakan pusat politik, kebudayaan dan ekonomi zaman Dinasti Shang. Pada tahun 1046 sebelum Masihi, Raja Wu dari Dinasti Zhou telah mengalahkan Raja Zhou, raja terakhir Dinasti Shang dan menamatkan pemerintahan Dinasti Shang, lalu ibu kota ini menjadi runtuhan. Kerana Dinasti Shang juga dikenali sebagai Dinasti Yin selepas ibu kotanya dipindahkan ke Anyang, maka tempat ini dinamakan Yinxu. Yinxu merupakan ibu kota pertama pada zaman purba di China menurut catatan sejarah.