Penemuan Yinxu merupakan kejayaan besar sektor arkeologi China pada abad ke-20. Semenjak tahun 1928, banyak artifak, termasuk barang tembaga telah ditemui di Yinxu. Manakala salah satu penemuan yang paling penting dalam sejarah kaji purba dunia pula ialah penemuan perkataan yang dipahat pada kulit atau karapas kura-kura dan tulang binatang di Yinxu. Perkataan ini dianggap asal perkataan Mandarin yang berbentuk empat segi sekarang ini.
Perkataan yang dipahat pada karapas kura-kura dan tulang binatang ini menggunakan huruf purba. Pada zaman Dinasti Shang, raja mesti melakukan penelahan sebelum melaksanakan perkara-perkara yang penting. Karapas kura-kura dan binatang merupakan alat untuk melakukan penelahan.
Ahli sihir yang mengawal penelahan itu memahat namanya, tarikh dan soalan yang ditanyakan pada karapas kura-kura atau tulang binatang itu. Kemudian dia membakar karapas tersebut. Retakan muncul pada karapas tersebut setelah dibakar. Ahli sihir itu mengkaji taburan retakan tersebut dan mendapat rumusan serta jawapan kepada soalan yang ditanya berdasarkan taburan retakan tersebut. Rumusan dan jawapan itu juga dipahat olehnya pada karapas dan tulang itu. Apabila penelahan tersebut dibuktikan selepas itu, karapas dan tulang tersebut disimpan sebagai bahan arkib rasmi.