Cari:
Abdul Ghani Abu: Unta Kecil yang Comel
2011-11-07 13:14:13 CRI Cetak

Yinchuan – Hati sayu hendak meninggalkan bumi Kashgar, bandar penting laluan sutera. Katreya, jurupandu pelancong kami menitipkan pesan, "Walaupun kita akan berpisah, namun jalinan persahabatan tetap diteruskan kerana jalinan tersebut baharu sahaja kita mulakan." Penulis menyematkan pin cenderamata di baju kot yang dipakai Abdul Alif, pemandu bas pelancong kami sebagai tanda pernah bersua di bandar permai lagi indah ini.


Penulis transit di Urumqi sebelum  ke Yinchuan

Suasana lapangan terbang Kashi masih sepi, tidak banyak penumpang udara yang ada. Jam di tangan menunjukkan pukul 12.30 tengah hari. Penerbangan ke Urumqi pukul 2.30 petang. "Suasana lapangan terbang China berbeza. Jika di Malaysia 40 minit sebelum pesawat berlepas penumpang sudah menunggu di pintu masuk, tetapi di sini 15 minit sebelum, penumpang baru nampak penumpang beramai-ramai masuk menaiki kapal terbang," ujar Puan Noraini, pakar asing dari RTM yang berkhidmat untuk CRI.

Setelah tiga hari berkelana di Kashgar, hari ini Kembara Muslim 2011 diteruskan ke wilayah autonomi Ningxia. Penulis perlu menaiki dua kali penerbangan, pertama dari Kashgar ke Urumqi, kemudian Urumqi ke Yinchuan. Di lapangan terbang Kashi, penulis berjalan-jalan di kedai buku, ternampak pula unta kecil! Sangat comel dan cantik. Apa lagi terus membeli dengan harga 40 Yuan. Bak kata Encik Muawin, jurugambar dari RTM, "Duit boleh dicari. Datang ke Kashgar bukannya senang." Begitulah adatnya mengembara membeli cenderamata buat kenang-kenangan.

Unta kecil ini juga mengingatkan penulis dengan titipan Rasulullah SAW, "Menuntut ilmu biarlah sampai negeri China." Kini, penulis berada di negeri China yang luas dan bergunung-ganang. Lantas laluan sutera membangkitkan ilusi penulis tentang masyarakat Islam dahulu kala yang berdagang dan berdakwah di China. Kesukaran yang ditempuh dengan kesabaran, kecekalan, ketakwaan dan keimanan pasti dibalas oleh Allah SWT dengan kemanisan hasil perjuangan. Begitulah penulis menaakul titipan baginda Rasulullah SAW.

1 2
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China