Pemandangan udara dari Kashgar ke Urumqi
Perjalanan udara dari Kashgar ke Urumqi mengambil masa dua jam. Dalam kapal terbang penulis menyelak-nyelak majalah Senchuan Airlines (SCAL). Walaupun dalam tulisannya China, namun pepatah mengatakan, sekeping gambar memberikan seribu makna. Ada juga sedikit perkataan bahasa Inggeris yang memberikan kesan kepada penulis tentang kebangkitan ekonomi China. Masyarakat China sekarang sedang mengukuhkan semangat keyakinan diri mereka untuk bersaing dengan Barat, apatahlagi inovasi mendahului ekonomi dan memerlukan rasa kebertanggungjawaban.
Pemandangan udara dari Kashgar ke Urumqi
Penulis sempat bertanya kepada Puan Puspa dari CRI bilangan syarikat penerbangan yang ada di China. Menurut ingatannya, terdapat lebih kurang sepuluh syarikat. Ya, yang penulis sudah naiki untuk perjalanan kembara setakat ini ialah Air China, Sechuan Airlines, Shandong Airlines; manakala yang penulis nampak di lapangan terbang ialah Hainan Airlines, China Western dan China Eastern. Senario ini menggambarkan perkembangan pesat industri pengangkutan udara di China yang memangkin pertumbuhan ekonomi, khususnya kepada wilayah autonomi Islam seperti di Xinjiang dan Ningxia. Perkembangan ini juga merangsang pertumbuhan sektor pelancongan khususnya menarik kunjungan pelancong dari negara-negara Islam ke China. Begitulah yang tersurat dan yang tersirat di benak penulis.
Suasana di lapangan terbang Urumqi
Pukul 4.10 petang, pesawat SCAL mendarat di lapangan terbang Urumqi. Suhu di sini 6 darjah Celcius. Penulis perlu transit di sini selama lebih kurang tiga jam sebelum berangkat ke Yinchuan, wilayah Ningxia pada pukul 7.20 petang. Sekali lagi penulis perlu menempuh pemeriksaan ketat keselamatan.
Di sini penulis sekali lagi ke kedai buku membelek-belek buku yang walaupun tidak difahami tetapi menarik perhatian kerana kulitnya yang menarik perhatian. Tiba-tiba penulis terpandang deretan cakera padat lagu tempatan. Lalu, penulis meminta bantuan Encik Satria dari CRI untuk menterjemah maksud kulit cakera padat yang ada di situ. Hati tertarik dengan himpunan lagu tradisional masyarakat Ugyur. Harganya 60 Yuan. Apa lagi, terus dimiliki.
Makanan halal yang disediakan penerbangan Sechuan Airlines
Pukul 6.50 petang penulis menuju pesawat dan tepat 7.20 malam, pesawat Shandung Airlines memecut laju meninggalkan landasan bumi laluan sutera, Xinjiang. Perasaan penulis berbaur; antara sedih dan teruja untuk ke Ningxia pula. Perjalanan udara lancar, namun kadang kala terdapat halangan udara yang menyebabkan pesawat bergegar. Maklumlah tiba musim sejuk. Dua jam lebih perjalanan diisi dengan borak-borak bersama-sama Puan Noraini dan Encik Satria. Rupa-rupanya Encik Satria pemegang tali pinggang hitam tekwando semasa menuntut di universiti! Memang wajarlah beliau menemani rombongan penulis sepanjang kembara ini. Jangan marah, ya Encik Satria! Gurau-gurau sahaja. Puan Noraini pula berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pemberitaan di RTM. Orang lama, banyak pengalaman harus dikutip selepas ini.
Pukul 11.00 malam tiba di hotel penginapan, Rainbow Bridge Hotel, di tengah-tengah bandar Yinchuan. Esok seawal pukul 9.30 pagi ada temuramah bersama-sama Jabatan Hal Ehwal Islam Ningxia. Esok penulis bertugas menemuramah, keluarga di Johor Bahru, Johor pula sedang mengalunkan takbir menyambut hari raya Qorban pada hari esok, Ahad 6 November. Begitulah adat yang bertugas di perantauan, kampung halaman dirindui, pengalaman juga hendak digali. Lagu Sudirman, Dari Jauh Ku Pohon Maaf menjadi halwa telinga penulis dan teman sebilik, Fuad, dari Karangkraf. Tiba-tiba teringat ketupat dan rendang. Kami rombongan dari Malaysia akan bertakbir esok malam.
Bersambung ....
(Abdul Ghani Abu, editor Dewan Siswa DBP)