Pusat kemudahan Islam Changying
Beijing – Hari ini masuk hari kesembilan penulis berada di China. Terasa pantas masa berlalu, maka teringatlah penulis pada pepatah, masa itu emas. Masa terus berputar, hanya mereka yang bijak dan oportunis dapat memaksimumkan masa. Begitulah pendakwah Islam dahulu kala yang menyebarkan Islam di China, sama ada di kawasan Barat China, Timur China atau Selatan China. Para pendakwah memandang masa hadapan, mereka meninggalkan legasi sejarah yang terus memekarkan Islam sehingga kini.
Di dalam Masijd Changying
Destinasi kembara pertama penulis hari ini ialah ke kawasan Timur Beijing melihat Pusat Kemudahan Masyarakat Islam dan Masjid Changying. Kawasan sekitarnya didiami oleh majoriti masyarakat Islam. Apabila sampai di pusat kemudahan ini, petugas di situ baru sahaja selesai menguruskan mandi jenazah seorang umat Islam yang meninggal dunia. Yang uniknya, bangunan pusat kemudahan ini kelihatan seperti masjid dari luar. Pelbagai aktiviti keagamaan seperti mandi jenazah, kelas agama dan pertemuan masyarakat Muslim diadakan di sini.
Tidak jauh dari pusat kemudahan ini terletak Masjid Changying yang berusia lebih 500 tahun. Masjid ini dibina semasa Dinasti Ming dan dibangunkan oleh etnik Hui pada 1502 hingga 1521. Masjid seluas 2500 meter persegi ini merupakan antara 100 buah masjid yang cemerlang dari segi pengurusan dan keindahan di China, dan boleh memuatkan sehingga 1500 orang jemaah pada satu-satu masa.
Menurut siak masjid ini, Haji Mao Ongming atau nama Islamnya, Ali, "Pada 2002 masjid ini telah dibaik pulih dengan belanja sebanyak 13 juta Yuan." Terdapat sebatang pokok yang seusia dengan masjid ini di sebelah kanan pintu masuk. Tersergamnya masjid ini melambangkan keteguhan syiar Islam di tengah-tengah kepesatan pemodenan Beijing.