(Penulis: Zaidah Ahmad Rosly)
Semalam delegasi CRI telah selesai mengadakan lawatan di sekitar kampus utama Universiti Xiamen. Pada hari ini, delegasi CRI meneruskan lawatan ke salah satu kampus Universiti Xiamen, iaitu kampus Xiang'an. Kampus Xiang'an terletak di bandar Xindian, daerah Xiang'an dengan Gunung Xiangshan di selatan, Jalan Selatan Xiang'an di utara, Kampung Shamei di barat dan Kampung Maolin di timur. Kawasan keseluruhan pembinaan kampus Xiang'an meliputi 1.15 juta meter persegi, lebih besar daripada kampus utamanya di bandar Xiamen. Setelah hampir satu jam perjalanan, delegasi CRI tiba di kampus Xiang'an dengan lawatan pertama kami di Perpustakaan Universiti Xiamen kampus Xiang'an.
Bilik Latihan. Di bilik ini mahasiswa akan berlatih membuat pembentangan. Mahasiswa China akan membuat pembentangan menggunakan bahasa Inggeris, manakala mahasiswa luar akan membuat pembentangan mengggunakan bahasa Mandarin.
Perpustakaan Universiti Xiamen kampus Xiang'an mula beroperasi pada April 2014 bersempena dengan ulang tahun ke-93 Universiti Xiamen. Kali pertama tiba di bangunan perpustakaan tersebut memang timbul perasaan kagum kerana bangunan tersebut seumpama sebuah istana Barat dengan hiasan candelier di ruang lobinya. Bangunan perpustakaan yang bergaya Jiageng itu meliputi 73 ribu meter persegi mempunyai sembilan tingkat dan merupakan perpustakaan satu blok bangunan yang paling besar antara kolej dan universiti di China. Bangunan perpustakaan tersebut sememangnya mempunyai gaya seni bina yang sangat unik, iaitu gabungan gaya Barat pada bahagian bangunannya, manakala gaya bumbung merah China pada bahagian bumbungnya. Rata-rata kampus di Universiti Xiamen mempunyai gaya seni bina tersebut atau lebih dikenali sebagai seni bina gaya Jiageng kerana idea asal seni bina tersebut adalah daripada Chen Jiageng atau Tan Kah Kee yang merupakan pengasas universiti tersebut.
Ruang belajar Universiti Xiamen
Perpustakaan tersebut menyediakan lebih 3000 ruang belajar dan mempunyai koleksi buku yang boleh dipinjam lebih 350,000 buah buku. Selain ruang belajar, perpustakaan tersebut mempunyai panggung mini 3D, bilik perbincangan, bilik latihan, ruang menonton video dan kafe. Seiring dengan perkembangan teknologi, perpustakaan tersebut menggunakan sistem yang membolehkan mahasiswa meminjam atau memulangkan buku hanya dengan mengimbasinya pada mesin.