Cari:
Zaidah: Selera Malaysia Merentas Sempadan
2016-01-18 15:23:08 CRI Cetak

Dua ramuan utama yang digunakan dalam acara memasak tersebut ialah pes tom yam dan buah durian. Untuk pes tom yam, YBhg. Datin Fairos Ishak menggunakannya bagi menyediakan hidangan tom yam udang dan nasi goreng udang, manakala buah durian pula digunakan untuk menyediakan kuah durian dan cucur durian.

Kombinasi hidangan tersebut agak menarik kerana mungkin ramai yang biasa mendengar sup tom yam tetapi mungkin ramai yang kurang tahu tentang pes tom yam tersebut juga boleh digunakan untuk membuat nasi goreng. Oleh itu, selain menjimatkan wang, pes yang sama juga boleh digunakan untuk mempelbagaikan masakan. Kalau ada suri rumah yang kreatif, mungkin boleh menggunakan pes tersebut dalam masakan yang lain. Begitu juga dengan kuah durian. Rata-rata rakyat Malaysia, mungkin biasa menikmati kuah durian yang biasa dimakan dengan roti atau pulut, namun tidak ramai yang mengetahui cucur durian yang boleh dimasak dengan cara yang mudah dan istimewa. Walaupun diadun bersama-sama dengan tepung, namun rasa duriannya tetap tidak hilang. Tambahan pula, YBhg. Datin Fairos Ishak juga telah menyunting elemen moden pada cucur durian tersebut yang bukan sahaja menambat selera, malah menaikkan semangat untuk mencubanya di rumah. Inilah seronoknya kalau ada demonstrasi memasak!

Acara pada hari tersebut telah dihadiri oleh kira-kira 50 orang peserta yang merupakan pelanggan berdaftar Chunbo.com. Selesai sesi memasak, para hadirin telah diberikan peluang untuk mencuba keempat-empat hidangan tersebut. Walaupun mungkin ada yang pertama kali mencuba, namun mereka tetap teruja dan tidak melepaskan peluang untuk mencuba hidangan tersebut. Rata-rata mereka seronok dengan acara seperti itu. Barulah berbaloi untuk membeli sesuatu produk setelah tahu cara memasak dan menikmati rasanya.

Sekalung penghargaan sewajarnya diberikan kepada Bahagian Pertanian, Kedutaan Malaysia di China atas inisiatif mengadakan acara yang pertama kali dianjurkan dengan kolaborasi platform e-dagang tempatan dan atas segala daya usaha untuk membawa dan memperkenalkan produk makanan Malaysia di China. Makanan adalah antara sumber kekayaan Malaysia, selain sumber alamnya. Oleh itu, rugi benar rasanya jika kekayaan tersebut tidak dikongsi dan dimanfaatkan dengan negara-negara jiran yang lain, sementelah pula menurut Duta Malaysia ke China, Dato' Zainuddin Yahya, eksport produk makanan Malaysia ke China dari bulan Januari hingga September 2015 baru mencecah USD350 juta. Angka tersebut secara relatifnya masih rendah, namun Malaysia optimistik untuk terus meningkatkan angka tersebut dengan melipatgandakan usaha dan tindakan.


1 2 3
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China