Cari:
Xishuangbanna Kembali Berpesta (Bahagian 2)
2016-04-18 10:24:31 CRI Cetak

Apabila bas rombongan kami tiba berhampiran dengan kawasan Dataran Songkran, orang ramai sudah pun berkumpul di situ. Bas rombongan kami telah diserang beberapa kali semasa melalui kawasan dataran tersebut. Keadaan itu membuatkan kami mula berdebar-debar. Sebelum turun dari bas, pemandu pelancong telah beberapa kali berpesan agar kami sentiasa menjaga telefon bimbit atau kamera sebaik-baik mungkin. Selain itu, kami juga diberikan satu besen kecil untuk menyimbah air atau melindungi diri daripada terkena simbahan.

Pada ketika itu suasana bandar Jing Hong amat meriah dengan orang ramai yang sudah bersedia dengan "senjata" masing-masing, ada yang menggunakan pistol air, senapang air, besen, baldi dan belon air untuk melakukan serangan. Pistol air dan senapang air yang dijual juga ada berbagai-bagai jenis dan mengikut peringkat usia. Hal tersebut bermakna, anda bukan sahaja akan diserang oleh orang dewasa, malah kanak-kanak juga akan menyerang anda. Lucu juga apabila melihat kanak-kanak membawa senapang air bersaiz kecil dan tanpa perasaan takut menyerang saya beberapa kali. Oleh itu, sentiasalah bersabar semasa diserang dan cubalah untuk tersenyum manis walaupun dalam keadaan yang basah kuyup.

Di tengah-tengah Dataran Songkran terdapat sebuah kolam yang besar. Sebelum pesta dimulakan, sekumpulan etnik Dai akan membaca mantera dan mengelilingi dataran tersebut sambil menari. Orang ramai tidak dibenarkan memasuki dataran tersebut sehingga upacara ritual itu selesai. Pada ketika itu, pihak polis, bomba dan tentera mengadakan kawalan di sekitar kawasan dataran. Walaupun acara belum bermula secara rasmi, namun orang ramai kelihatan begitu teruja dan tidak sabar-sabar mahu memulakan pesta tersebut.

Tepat pada pukul 11 pagi, apabila juruacara mengumumkan bermulanya pesta, maka orang ramai berpusu-pusu memasuki kawasan Dataran Songkran. Pada ketika itu, bermulalah sesi serang menyerang atau "membuang air" antara satu sama lain. Masing-masing melakukan serangan tanpa belas kasihan dan secara tiba-tiba. Mereka tidak peduli sama ada orang yang diserang itu suka atau tidak kerana apabila sudah berada di "kawasan pesta", maka mereka menganggap mereka boleh menyerang atau menyimbah air kepada sesiapa sahaja tanpa rasa bersalah. 

Apabila sudah berada di kawasan pesta, bukan hanya pejalan kaki sahaja yang akan diserang, sekiranya anda berada di dalam apa-apa kenderaan yang pintunya tidak berkunci, maka bersiap sedialah untuk diserang atau menerima simbahan air kerana mereka akan membuka pintu kenderaan anda secara tiba-tiba atau pun sekiranya tingkap kenderaan anda tidak bertutup rapat, mereka juga akan mengambil kesempatan tersebut untuk memastikan baju anda basah. 

Dalam ramai-ramai yang menyertai pesta tersebut, tidak mustahil ada yang nakal. Menurut pemerhatian, terdapat segelintir kaum lelaki yang amat gemar menyimbah air terhadap kaum perempuan yang berpakaian agak seksi. Mereka akan sedaya upaya "membasahkan" pakaian wanita tersebut supaya kelihatan lebih seksi. Ya, nampaknya mereka memang betul-betul mengambil kesempatan. 

Walaupun saya biasa mendengar pesta tersebut sebelum ini, namun saya tidak pernah berpeluang untuk menyertainya. Tetapi setelah mengalaminya sendiri di Xishuangbanna, saya berpendapat seronok juga sekiranya setahun sekali dapat mengenakan orang lain. (Ops, bergurau saja). Selepas merasai Pesta Songkran di Xishuangbanna, saya harap dapat merasainya di Bangkok pula. Semoga bertemu lagi pada Pesta Songkran yang akan datang. 


1 2
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China