Hutong dianggap sebagai sebuah muzium adat istiadat rakyat yang telah mencatat banyak kisah dalam kehidupan sosial mereka. Ianya merupakan satu gaya hidup dan budaya yang tersendiri bagi masyarakat berkenaan. Pada sebelah pagi dan awal petang, kelihatan penduduknya melakukan tarian tradisional Cina iaitu Taijiquan serta menari lagu Opera Peking. Sesetengahnya duduk berbual-bual di depan pintu rumah mereka dan ada yang bermain mahjung sambil menikmati makanan ringan yang disediakan. Mereka hidup aman dan harmoni dalam "kotak/lorong" kecil ini, jauh dari hiruk-pikuk masyarakat di luar. Keperluan harian mereka diselesaikan sepenuhnya oleh penjaja yang menjual sayur-sayuran, telur, buah-buahan dan makanan ringan. Pada masa lalu, mereka juga boleh mendapatkan perkhidmatan gunting rambut oleh tukang gunting tanpa perlu berjalan keluar dari kejiranan untuk mencari kedai gunting rambut. Kawasan hutong yang sempit itu adalah juga seperti syurga bagi kanak-kanak yang bermain berbagai permainan. Mereka akan bermain getah band, menendang bulu tangkis, permainan `sembunyi dan mencari'. Pada zaman moden ini pula kanak-kanak lelaki sering mengadakan pertandingan bola sepak di lorong sempit tersebut. Ini menunjukkan bahawa mereka yang tinggal di kawasan hutong suka dengan cara hidup yang sedemikian yang sering digambarkan oleh orang-orang Cina sebagai satu budaya kebahagiaan dan keharmonian.

(Siheyuan (rumah empat segi) di kawasan Hutong, Beijing)
Ciri utama hutong ialah melingkungi rumah kotak persegi yang disebut `Siheyuan'. Siheyuan direkabentuk dengan gabungan unsur semulajadi seperti taman yang begitu indah serta menyegarkan. Setiap siheyuan biasanya mengandungi empat bilik atau ruangan utama, iaitu bilik tamu, bilik anak lelaki, bilik anak perempuan dan bilik untuk ibubapa. Bilik-biliknya dibina mengeliling taman di tengah yang tidak berbumbung. Kedudukan bilik-bilik tersebut mengambilkira arah mata angin dan kedudukan atau peredaran matahari yangmana dipengaruhi oleh kepercayaan Feng Shui mereka terhadap lima unsur utama (tanah, air, kayu, emas dan api). Bilik tetamu di sebelah depan (selatan) bagi unsur api sebagai melambangkan kekuasaan dan keselamatan. Bilik anak lelaki di sebelah kanan (timur) bagi unsur kayu/pohon sebagai lambang kekuatan. Bilik anak perempuan di sebelah kiri (barat) bagi unsur emas sebagai lambang kecantikan dan bilik ibubapa di sebelah hujung (utara) bagi unsur air sebagai lambang kemewahan. Manakala taman di tengah-tengah siheyuan itu pula bagi unsur tanah sebagai lambang kehidupan. Begitulah adat budaya dan kepercayaan yang diterapkan dalam pembinaan siheyuan di kawasan petempatan hutong ini. Soal kepercayaan digabungkan dengan alam semula jadi bagi membentuk kehidupan yang sejahtera di samping menjaga kesihatan seharian. Bagi ibubapa yang sudah berumur mereka memerlukan ruang rehat yang redup dan kurang cahaya matahari. Dengan itu kedudukannya di bahagian utara yangmana cahaya matahari tidak banyak akan memasuki ruang bilik mereka. Berbanding bagi anak lelaki dan anak perempuan yang masih muda sememangnya memerlukan pencahayaan matahari yang terang dan mencukupi untuk tumbesaran mereka seharian.


(Siheyuan di kawasan Hutong, Beijing)
Dalam kesibukan dan perkembangan pesat bandar pada tahun-tahun kebelakangan ini, semakin banyak gedung-gedung besar dibangunkan di sekitar Beijing, dan ini menyebabkan bilangan hutong semakin berkurangan. Bagi mengelakkan ianya terus musnah, pentadbiran bandar Beijing telah mengambil langkah-langkah khas bagi melindungi hutong yang dianggap istimewa ini. Ianya digazetkan sebagai kawasan yang `dipelihara' untuk tatapan dan tarikan para pelancong untuk mengenali kehidupan lama di Beijing. Lembaga Pelancongan Bandar Beijing telah mengadakan berbagai kempen termasuklah kempen `melawat hutong'. Para pelancong diajak meninjau sekeliling hutong dengan menumpang beca, mengunjungi penduduknya, menikmati hidangan teh yang segar dan mendengar cerita tentang Beijing pada zaman dulu.

(Jambatan Yinding)
Hutong di Beijing juga merupakan suatu warisan kesenian. Setelah melalui masa ratusan tahun, hutong seperti seorang yang telah lanjut usia, yang penuh asam garam, mukanya yang semakin keriput dan meninggalkan ciri-ciri khas untuk dihayati oleh generasi masa kini. Justeru, untuk mengetahui sejarah budaya dan kehidupan orang Beijing, para pelancong sewajarnya menjadikan kawasan hutong sebagai salah satu agenda dalam lawatan mereka. Kalau mahu pergi ke hutong anda patut melawat bekas tempat kediaman Mao Dun yang kini telahpun dijadikan sebuah muzium. Antara hutong yang paling patut dikunjungi di Bandaraya Beijing adalah yang terletak berdekatan dengan Tasik Shichahai. Pemandangan di sekelilingnya sangat indah. Dari Jambatan Yinding itu kita dapat melihat gunung yang tersergam indah dari jarak jauh. Di samping itu, ada banyak lagi hutong dan Siheyuan yang dijaga dengan sempurna di kawasan berkenaan.

(Jambatan Yinding)
Akhir sekali, bak kata pepatah orang Beijing yang mengatakan 'memang sulit kalau hendak mengenali Beijing tanpa memasuki hutong, dan tidak bererti kalau melawat ke Beijing tanpa memasuki hutong'. Justeru, kalau anda datang ke Beijing, mestilah pergi ke hutong untuk memahami kehidupan tipikal rakyat biasa Cina dan kebudayaan serta petempatan tradisional Beijing.
Prof. Dr. Mohd.Taib Dora








