Cari:
Kesan Awal Islam di Guangzhou
2013-01-04 14:34:03 CRI Cetak

 Bandaraya Guangzhou merupakan kota bersejarah China sejak 2200 tahun lalu dan ianya adalah salah satu daripada tiga kota terpenting di China. Sejarah awal kota ini merupakan pusat perdagangan antarabangsa dan Jalan Sutera Laut. Pernah menjadi tuan rumah Sukan Asia ke-16 tahun 2010. Ianya menjadi tumpuan pedagang daripada Asia Barat dan Eropah yang menjadikan Guangzhou sebagai pangkalan perdagangan terpenting di Timur Jauh. Bertitik tolak daripada kedudukannya yang strategik inilah dikatakan bahawa Agama Islam turut tersebar di kota ini melalui kedatangan pedagang-pedagang dari Asia Barat. Mengikut para sarjana, Guangzhou adalah pintu gerbang awal menerima penyebaran Agama Islam di negara China.

Pada cuti musim panas yang lepas (4-8 Julai 2012), saya bersama dua orang pelajar Malaysia telah berpeluang membuat liputan kajian tentang kedatangan Islam di Bandaraya Guangzhou ini yang dahulunya dikenali sebagai `Canton'. Tumpuan lawatan kajian ialah dua tempat utama yang masih terdapat kesan peninggalan kedatangan terawal agama Islam di China amnya dan di kawasan ini khususnya. Dua tempat peninggalan sejarah awal Islam itu ialah Masjid Huaisheng dan juga Makam Kuno yang dikenali sebagai Makam Saad Abu Waqqash.

i) Masjid Huaisheng

Masjid Huaisheng telah dibina oleh Saad bin Abu (Abi) Waqas kira-kira 1,300 tahun yang lalu di tempat yang dikenali sebagai Guangtalu'. Pada ketika itu, masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Rumah Api, atau sering juga disebut sebagai `balai sembahyang'. Perkataan Huaisheng digunakan dalam "Nan Hai Bai Yong – Fan Ta" (Kisah-kisah di Laut Selatan, `Menara Asing') oleh Fang Xinru, dari Dinasti Song Selatan. Dalam buku ketiga "Nan Hai Bai Yong Xu Bian" (Kisah-kisah Laut Selatan Lanjutan) oleh Fan Kunwu dari Dinasti Qing disebutkan bahawa "Pemimpin Agama Islam adalah Nabi Muhammad, orang muslim memanggilnya `Nabi'. Justeru, masjid ini dinamakan Masjid Huaisheng bermakna memperingati orang suci, iaitu Nabi Muhammad". Pemakaian kata Huaisheng, yang bererti memperingati orang suci, adalah selaras dengan pernyataan perasaan terharu dan kesyukuran para pedagang Dasi yang menempuhi lautan gelora dan badai untuk sampai ke Guangzhou dengan selamat. Apabila mereka tiba di Guangzhou, kegiatan pertama mereka (pedagang Islam) ialah bersembahyang sebagai tanda kesyukuran kepada Allah dan Rasulullah.

Sebagaimana dijelaskan tadi bahawa Masjid Huaisheng ini didirikan pada permulaan Dinasti Tang (618-9-7 T.M.) oleh Abu Waqas, seorang sahabat Rasulullah yang datang menyebarkan ajaran Islam di Guangzhou dan membina masjid ini sebagai memperingati Nabi Muhamad s.a.w. Masjid bersejarah lebih daripada 1,300 tahun ini merupakan masjid yang tertua (paling lama) di China. Menara yang berbentuk silinder dan bercirikan senibina Islam ini mempunyai ketinggian 36.3 meter. Pada mulanya menara ini adalah untuk muazin berazan menandakan masuknya waktu solat bagi umat Islam. Apabila mendengar suara azan tersebut, orang-orang Islam yang berada di sekitar kawasan tersebut akan datang beramai-ramai untuk mengerjakan solat. Pada ketika itu, menara ini terletak betul-betul di tebing Sungai Mutiara (Zhu Jiang), iaitu berdekatan dengan pelabuhan utama yang sibuk dengan kapal dagang dari berbagai pelosok dunia. Biasanya, pada sebelah malam, lampu dipuncak menara akan dipasang untuk membantu kapal-kapal yang lalu. Sebab itulah menara ini kemudiannya dinamakan Masjid Rumah Api.

(Gambar asal menara Masjid Huaisheng yang pula dipanggil `Masjid Rumah Api')

(Menara Asal Masjid Huaisheng)

Kedudukan masjid ini sejak dinasti Tang tidak berubah. Ia kini jauh ke daratan, iaitu lebih kurang 4 km dari laut kerana pelabuhan utama dahulu telah ditimbun dan dijadikan petempatan dan pusat perniagaan. Namun, sejak dibangunkan, walaupun telah berkali-kali terbakar; bentuk, skala dan struktur Masjid Huaisheng masih dapat dipertahankan dan diperluaskan dari satu dinasti ke satu dinasti. Pemulihan dan pembinaan semula masih di tempat yang sama. Justeru, selama lebih 1300, Masjid Huaisheng sentiasa diuruskan dengan teratur dan dapat bertahan hingga ke hari ini. Ianya mempunyai nilai sejarah yang sangat tinggi kerana membuktikan bahawa Masjid Huaisheng sebagai permulaan penyebaran agama Islam di negara China.

(Pintu gerbang masuk ke Masjid Huaisheng)

(Masjid Huaisheng masa kini)

1 2
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China