Cari:
Kesan Awal Islam di Guangzhou
2013-01-04 14:34:03 CRI Cetak

ii) Makam Kuno Wali-Abu Waqash

Makam Kuno Wali (Abu Waqas) di Guangzhou ini disebut juga sebagai "Kuburan Hui Hui", yang terletak di Bukit Guihua. Di kawasan makam terdapat bangunan rumah, manakala di sebelah baratnya terdapat tiga balai dan di sebelah utara pula terdapat ruang bersembahyang. Abu Waqas adalah seorang tokoh yang amat terkenal dalam membawa masuk agama Islam ke China. Beliau dikatakan meninggal dunia di Guangzhou dan dikuburkan di Makam Muslim Bijaksana (Xian Xian Mu) yang dibina oleh orang Islam bagi memperingati beliau. Bentuk ruang makam melengkung ke atas, laksana loceng yang tergantung. Di dalamnya seperti gua. Waktu membaca Quran atau bercakap di dalam makam ini, terdengar suara bergema sehingga juga disebut sebagai `Makam Bergema'. Makam ini dianggap keramat dan sering dikunjungi oleh berbagai lapisan masyarakat dari berbagai pelosok dunia.

(Pandangan luar Makam Abu Waqas)

(Pandangan dalam makam: Pusara Abu Waqas)

(Balai Asal Masjid Abu Waqas)

Pada awal tahun 1980an, bangunan Masjid Abu Waqas yang baru telah didirikan bagi menampung jumlah umat Islam yang semakin ramai di Bandaraya Guangzhou. Masjid ini terletak kira-kira 200 meter daripada tapak asal Masjid Abu Waqas. Ianya lebih besar dan luas serta mempunyai 2 tingkat dewan sembahyang. Dianggarkan mampu menampung sehingga 3 ribu Jemaah pada satu waktu sembahyang khususnya sembahyang Jumaat dan sembahyang hari raya. Di Guangzhou hanya ada 4 buah masjid sahaja, sedangkan umat Islam di kawasan ini kini berjumlah hampir 30 ribu orang. Rata-rata umat Islam di sini merupakan pedagang dan pelajar daripada negara-negara Asia Barat dan Asia Selatan (Pakistan, Bangladesh dan India). Biasanya pada setiap Jumaat, Jemaah yang memenuhi masjid ini sekitar 2 ribu orang dan menjangkakan umat Islam akan lebih ramai tertumpu di Guangzhou ini pada masa depan.

Bagi dunia Islam, Abu Waqas (Abu Waqqash) dianggap sebagai seorang tokoh penting yang membawa masuk agama Islam dan menyebarluaskannya di negara China. Manakala bagi masyarakat Islam tempatan pula, Abu Waqas adalah seorang wali yang dijunjung tinggi serta sangat dihormati. Ketokohan dan sumbangannya dalam membawa masuk Islam ke negara China memang tidak dapat disangkal lagi. Sebab itulah Makam Abu Waqas dijadikan keramat dan tanah suci untuk diziarahi. Namun, satu persoalan yang menyelubungi pemikiran tentang makam ini ialah sejauhmana kebenarannya tentang tokoh ini. Adakah ianya adalah `Saad Abu Waqas', iaitu antara 10 sahabat Nabi yang dijanjikan syurga, ataupun tokoh lain yang kebetulan sezaman dan mempunyai nama yang sama dengan beliau sebagai pedagang serta penyebar agama Islam di Guangzhou. Ini kerana mengikut pendapat para sarjana Sejarah Islam, Saad bin Abu Waqas yang merupakan `sahabat' dan bapa saudara Rasullullah sebelah ibunya telah meninggal dunia pada tahun 55 Hijrah di Madinah dan disemadikan di tanah perkuburan Ba'qi yang terletak bersebelahan dengan Masjid Nabi.

(Masjid Abu Waqas yang baru)

(Pandangan dalam dewan sembahyang Masjid Abu Waqas)

 


1 2
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China