Bahan binaan yang digunakan diambil dari sumber alam yang boleh diperbaharui, yakni pelbagai jenis kayu-kayan, juga buluh dan rotan hinggalah kepada daun-daun pelepah. Kerangka atau struktur rumah pula menggunakan sistem tebuk-tembus dan pasak yang tidak memerlukan paku. Dalam ertikata lain, pembinaan rumah papan Melayu sebenarnya ialah suatu sistem pasang-siap yang boleh juga 'ditanggal-buka' dan di pasang semula di tempat lain. Dari sudut rekabentuk, rumah adat Melayu boleh dikatakan amat canggih dan memuatkan ciri-ciri bistari, lagi kena dengan gaya hidup selesa mengikut adat dan alam. Ciri-ciri pintar ini termasuklah penyejukan atau pengudaraan semula jadi, peneduhan, keselamatan dan keamanan serta kepersendirian.

Rumah Melayu juga selalunya terbahagi dua bahagian: yang utama dipanggil 'Rumah Ibu' sementara bahagian kedua ialah 'Rumah Dapur'. Bumbung rumah Melayu sentiasa jenis condong untuk kesesuaian cuaca hujan panas tropika, dan ada dua kategori utama: gaya 'bumbung panjang' (atap pelana) dan keduanya 'bumbung lima' atau 'limas' (atap perisai). Bumbung panjang ialah jenis yang lebih mudah, yakni hanya satu perabung membentuk bukaan segitiga di kedua-dua hujung yang membenarkan pemasangan penutup tebar layar. Bumbung lima' ialah jenis yang ada lima perabung (atau juga empat perabung bagai piramid untuk struktur ringkas seperti pondok wakaf). Dua-dua jenis bumbung ini boleh melahirkan apa jua kombinasi bentuk bumbung yang boleh difikirkan. Bumbung rumah tradisi juga pasti ada unjuran (emper) untuk berteduh dari panas dan hujan lebat. Sepanjang tepian hujung bumbung pula selalu dipasang cucur atap atau 'papan cantik' berukir. Ini menunjukkan bahawa seni ukiran kayu berkembang maju dalam budaya Melayu. Ianya dipengaruhi oleh kepelbagaian flora dan fauna serta daya kosmik, telah memberi inspirasi kepada motif-motif samada dalam bentuk abstrak atau stail di atas papan kayu. Kemudian, dengan kedatangan Islam, bentuk geometri dan seni khat Islam telah diperkenalkan dalam seni ukiran kayu dalam pembinaan rumah tradisional Melayu.








